SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN PALONG DUA (FELDA)

VISI
"PENDDIDIKAN BERKUALITI INSAN TERDIDIK NEGARA SEJAHTERA''

MISI
"MELESTARIKAN SISTEM PENDIDIKAN YANG BERKUALITI UNUTK MEMBANGUNKAN POTENSI INDUVIDU BAGI MEMENUHI ASPIRASI NEGARA".

MOTO
BERDISIPLIN MAJU JAYA

SLOGAN
DISIPLIN PERTAMA,
AKADEMIK UTAMA,
KOKURIKULUM BERSAMA.

Thursday, March 18, 2010

Sekalung Penghargaan untuk Y.B. Dato' V.S. Mogan

SEKALUNG PENGHARGAAN
DARIPADA WARGA SMK PALONG DUA (F), GEMAS
ATAS KESUDIAN YANG BERHORMAT
 MENYEMPURNAKAN MAJLIS PENUTUPAN PROGRAM JOM KE SEKOLAH DAN PELANCARAN BLOG PSS SEKOLAH KAMI PADA 9 MAC 2010. 
JUTAAN TERIMA KASIH KAMI UCAPKAN KEPADA YANG BERHORMAT. 


Y.B. DATO' V.S. MOGAN
PENGERUSI JAWATANKUASA BERTINDAK HAL EHWAL PERLADANGAN
SUMBER MANUSIA, ALAM SEKITAR DAN PENGADUAN AWAM
MERANGKAP
ADUN JERAM PADANG


Teks ucapan penuh Y.B. Dato' V.S. Mogan semasa menyempurnakan Majlis Penutupan Program Jom ke Sekolah dan Pelancaran Blog PSS SMK Palong Dua (F), Gemas.


1. Terlebih dahulu saya mengucapkan tahniah kepada pihak warga SMK Palong Dua (F) atas kejayaan mengadakan Program Jom Ke sekolah yang pada pandangan saya merupakan suatu usaha murni dan proaktif bagi meningkatkan kehadiran para pelajar ke sekolah khususnya para pelajar yang agak bersikap tegar dalam kegiatan yang kurang sihat seperti ponteng sekolah. Usaha ini perlu diteruskan sepanjang masa kerana proses pendidikan tidak bersifat bermusim, kerana proses pendidikan merupakan usaha yang berterusan dan diulang-ulang sehingga menjadi tabiat dan seterusnya mendarah daging dalam diri generasi pelajar. Daripada usaha yang berterusan ini, lambat-laun kita akan memperoleh kemanisan daripada hasil usaha kita selama ini. Dalam kepahitan selalunya terselit kesembuhan yang melegakan.

Para pelajar yang dikasihi,

2. Dunia sekolah merupakan dunia yang penuh dengan cabaran dan keseronokan. Apabila kita meninggalkan alam persekolahan, kita pasti teringat akan keindahannya. Memori yang indah ini tidak akan kita  peroleh kembali buat kali kedua. Oleh itu, janganlah persia-siakan saat indah ini dengan melakukan tindakan salah laku yang jelas merugikan diri kita  dan mengecewakan para guru dan ibu bapa yang tercinta. Pergunakanlah segala kesempatan ini dengan belajar bersungguh-sungguh dan membina nilai-nilai positif bagi menghadapi cabaran luar yang bakal ditempuhi yang tidak lagi mengenal simpati. Hanya mereka yang mempunyai persediaan yang cukup sama ada dari segi keilmuan dan jati diri yang kukuh sahaja yang mampu mendepani segala cabaran yang datang. Rugilah bagi mereka yang gagal memanfaat segala peluang yang telah tersedia di depan mata mereka.

3. Untuk pengetahuan anda semua, cabaran pada masa kini tidak lagi berbentuk fizikal yang berketahanan dalam tempoh tertentu, tetapi cabaran masa kini sudah bertukar wajah dalam bentuk acuan baharu yang  bercorak pengetahuan. Kita lihat perubahan yang berlaku di dunia kini semakin pantas sehinggakan kita tidak dapat menentukan selama mana tempoh sesuatu kemajuan yang tercipta berkekalan dalam satu-satu masa. Kreativiti dan inovasi yang tercetus hasil daripada penguasaan pengetahuan telah menyebabkan dunia masa kini seakan-akan camouflage. Justeru, bagi membolehkan kita menghadapi ledakan ini,  YAB Perdana Menteri amat menggalakkan usaha-usaha kreativiti dan inovasi dalam kalangan rakyat Malaysia agar memiliki sinergi bagi menghadapi cabaran yang terhasil daripada fenomena ini.

Para pelajar yang dikasihi,

4. Menyedari hakikat ini, barisan kepemimpinan negara kita  berusaha melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi dan berkemampuan melonjakkan negara yang tercinta ini menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran telah menstruktur semula 69 buah Sekolah Menengah Teknik untuk dijadikan Sekolah Menengah Vokasional yang diharapkan dapat menggarap kemahiran pelajar-pelajar kita dan meningkatkan daya inovasi dan kreativiti mereka. Kementerian Pelajaran juga telah merancang program yang terbaik agar sekolah aliran vokasional dan kemahiran menjadi salah satu bidang aliran perdana dalam sistem pendidikan kita. Saya percaya dengan peningkatan mutu pendidikan kemahiran dan vokasional, kita akan dapat membekalkan tenaga kerja yang kreatif, inovatif dan berkemahiran tinggi yang amat diperlukan oleh negara. Usaha ini adalah sejajar dengan hasrat YAB Perdana Menteri untuk melaksanakan Model Ekonomi Baru dan menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi.

5. Kepada para pelajar yang terlibat dalam Program Jom Ke Sekolah khususnya, dan para pelajar lain amnya, penuhi aspirasi yang ingin dicapai oleh negara kita yang tercinta ini. Harapan saya tentu sekali mengharapkan anda semua mencapai kejayaan cemerlang dalam pelajaran. Ingatlah bahawa setiap usaha yang dilakukan oleh para guru adalah untuk mendidik anda semua agar menjadi pelajar yang cemerlang. Justeru, berusahalah dengan gigih, hormatilah para guru dan ibu bapa, peliharalah disiplin dan sahsiah diri, dan capailah impian anda. Di samping itu, jadikanlah sekolah ini sebagai medan untuk menimba ilmu sebanyak yang mungkin dan memperkembang potensi diri. Hayatilah semangat 1Malaysia dengan sepenuh hati dan amalkanlah sikap saling menghormati. Saya percaya dengan sikap yang baik ini, kita akan menjadi rakyat yang membawa manfaat kepada negara dan bukannya warga yang membawa mudarat   kepada negaranya sendiri.

6. Akhir sekali, saya merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua warga SMK Palong Dua (F) yang telah berusaha dengan gigih untuk menjayakan Program Jom Ke Sekolah. Bagi tahun 2010 ini, saya berharap usaha untuk melonjakkan kecemerlangan pendidikan sekolah ini  akan dilipatgandakan lagi agar kita dapat menyediakan pendidikan terbaik kepada anak-anak kita pada hari ini dan masa depan. Semoga segala usaha kita  dapat dilaksanakan dengan jayanya. Dengan ini, saya menyempurnakan Majlis Penutupan Program Jom Ke Sekolah 2010 dan melancarkan Blog PSS SMK Palong Dua (F), Gemas. Sekian, terima kasih.





No comments:

Post a Comment