SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN PALONG DUA (FELDA)

VISI
"PENDDIDIKAN BERKUALITI INSAN TERDIDIK NEGARA SEJAHTERA''

MISI
"MELESTARIKAN SISTEM PENDIDIKAN YANG BERKUALITI UNUTK MEMBANGUNKAN POTENSI INDUVIDU BAGI MEMENUHI ASPIRASI NEGARA".

MOTO
BERDISIPLIN MAJU JAYA

SLOGAN
DISIPLIN PERTAMA,
AKADEMIK UTAMA,
KOKURIKULUM BERSAMA.

Wednesday, January 20, 2010

Rencana: Sudut Pidato


Baru-baru ini, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyatakan langkah UKM menganjurkan semula Sudut Pidato diyakini mampu melahirkan golongan mahasiswa yang  bertanggungjawab serta mencorak daya kepemimpinan cemerlang. Usaha menghidupkan semula Sudut Pidato ini perlu dilihat sebagai suatu aktiviti  yang  perlu diperluas dari segi praktiknya di peringkat sekolah lagi.  Sebarang jurang perbezaan tidak sepatutnya  wujud  di antara  dunia menara gading dengan alam persekolahan. Sikap proaktif kita sebagai warga pendidik amat dituntut bagi melahirkan anak didik yang berketerampilan dalam kemahiran pidato. Kemahiran ini perlu dipupuk sejak awal lagi tanpa perlu menunggu mereka menjejakkan kaki di universiti. Kepekaan kita dalam hal ini banyak membantu lahirnya generasi pelajar yang bermentaliti kelas pertama, di samping pencapaian akademik yang cemerlang.

Mungkin sebahagian besar dari kalangan kita yang beranggapan cukup sekadar menghantar seorang murid mewakili sekolah kita dalam pertandingan pidato sama ada di peringkat daerah atau negeri, kita berasakan sudah memadai dan berfikir bahawa kita telah berjaya melahirkan murid yang berketerampilan dalam kemahiran ini. Tambahan pula selama ini, kita beranggapan bahawa kemahiran berpidato hanya menjurus kepada perkara bercorak pertandingan semata-mata, dan tiada kena mengena dalam pembinaan jati diri. Persepsi sebegini kurang tepat, bahkan lebih menampakkan kegagalan kita memahami aspirasi negara  yang bercita-cita melahirkan modal insan yang cemerlang.

Kita masih belum mampu keluar dari kepompong kecenderungan kepada pencapaian akademik dalam kalangan murid. Lantaran itu, kita secara tidak langsung telah meminggirkan murid-murid dari aspek pembinaan sahsiah positif seperti keyakinan diri, fikiran terbuka, menghormati orang lain, dan nilai-nilai murni yang lain  yang tidak dapat dibina melalui wadah akademik yang hanya memberi penekanan terhadap kemahiran menghafal fakta, latih tubi, bengkel peperiksaan, latihan amali di makmal, dan perkara-perkara seumpamanya.

Kegagalan kita dalam hal ini memungkinkan lahirnya generasi  persis singa sarkas yang hanya mahir dalam skil yang dilatih tubi sejak lahir  sehingga membungkam bakat seekor singa daripada tabiinya yang sebenar. Singa sarkas tidak akan mampu meneruskan survivalnya jika dihantar ke padang Savana atau di wilayah Srenggeti yang diwarnai kebuasan dan geografinya agak ekstrem. Secara analoginya, begitulah juga keadaan seseorang murid apabila kehidupan mereka dimomok dengan dunia akademik semata-mata, maka tidak mustahil akan lahirlah generasi berotak bijak tetapi lembik dan  berjiwa rapuh apabila berhadapan dengan cabaran dan amanah yang dipertanggungjawabkan terhadap mereka.

Apa yang kita bimbangi, suatu hari kelak  akan bangkit dari kalangan orang jahil yang bijak berpidato menjadi pemimpin tetapi kosong dari segi ilmu, manakala kalangan cerdik pandai cuma berperanan sebagai pemerhati yang dayus. Jika memiliki keberanian sekalipun, hanya setakat bertindak sebagai peserta forum, pembentang kertas kerja atau sebagai kolumnis dalam  media massa. Namun mereka tetap dianggap gagal memainkan peranan kerana tidak  berkeupayaan menduduki kerusi dalam institusi membuat dasar.

Bagi memastikan fenomena ini tidak berlaku, PSS SMK Palong Dua (F) telah bertindak secara proaktif mewujudkan Sudut Pidato  di Anjung Ilmu sejak tahun 2007. Sekolah ini terhutang budi kepada mantan Pengetua sekolah ini, Encik Awalludin bin Mat Din atas jasa beliau mewujudkan Anjung Ilmu bagi merealisasikan generasi yang memiliki daya kepemimpinan yang tinggi. Idea futuristik beliau benar-benar relevan dengan tuntutan  era masa kini.

Sudut Pidato di Anjung Ilmu lebih menitikberatkan soal peningkatan mutu pengucapan awam dan sifat tanggungjawab murid-murid untuk berhujah dengan isu-isu setempat mahupun antarabangsa. Kewujudan Sudut Pidato ini diharap dapat membudayakan golongan murid yang cemerlang bukan sahaja daripada segi akademik tetapi turut melibat soal kematangan murid dalam mengutarakan sesuatu isu.

Selaras dengan misi nasional bagi mencapai matlamat pembangunan berasaskan ilmu pengetahuan dan inovasi, Sudut Pidato memberi lebih kebebasan bersuara kepada murid-murid. Walau bagaimanapun, Sudut Pidato di Anjung Ilmu tetap akur akan  peraturan yang digarisi  oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Panduan dan peraturan untuk Sudut Pidato tetap memberi penekanan dalam aspek modal insan, berhemah, berasaskan fakta, bertanggungjawab dan hormat-menghormati tanpa sebarang kompromi.

No comments:

Post a Comment