SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN PALONG DUA (FELDA)

VISI
"PENDDIDIKAN BERKUALITI INSAN TERDIDIK NEGARA SEJAHTERA''

MISI
"MELESTARIKAN SISTEM PENDIDIKAN YANG BERKUALITI UNUTK MEMBANGUNKAN POTENSI INDUVIDU BAGI MEMENUHI ASPIRASI NEGARA".

MOTO
BERDISIPLIN MAJU JAYA

SLOGAN
DISIPLIN PERTAMA,
AKADEMIK UTAMA,
KOKURIKULUM BERSAMA.

Wednesday, January 20, 2010

Program Jom ke Sekolah



TEKS UCAPAN PENGETUA
SEMASA MERASMIKAN PROGRAM JOM KE SEKOLAH
PADA 11 JANUARI 2010



Bismillahirahmanirahim, Assalamualaikum warah matullah hiwabarakatuh.

Yang dihormati Cik Hazlina binti Rani, Guru Penolong Kanan SMK Palong Dua (F)
Yang dihormati Puan Latifah binti Mansor, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid
Yang dihormati YM Tengku Riduan bin Raja Yunus, Guru Penolong Kanan Kokurikulum
Guru-guru Ketua Bidang, Guru Media, Kaunselor, guru-guru, dan seterusnya murid-murid yang dikasihi.

1. Terlebih dahulu, saya melafazkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas rahmat dan izin-Nya jua, kita telah dapat bersama-sama menjayakan Pelancaran Program Jom ke Sekolah yang bermatlamat untuk membina semangat baharu yang lebih berkobar-kobar dan kuat untuk kita meneruskan perjuangan kita demi kegemilangan kita dan sekolah kita.

Rasional sekolah ini mengadakan program seumpama ini adalah ekoran daripada sikap segelintir murid-murid sekolah ini yang mula cenderung ke arah budaya ponteng sekolah. Sebagai akibat daripada sikap mereka yang melakukan kesalahan ini, pihak pengurusan SMK Palong Dua (F) sejak tiga tahun belakangan ini, telah mengambil langkah tidak popular dengan mengenakan tindakan buang sekolah terhadap murid-murid yang kerap ponteng sekolah dalam jumlah hari yang melayakkkan mereka dikenakan tindakan sedemikian setelah beberapa amaran diberikan kepada mereka. Bagi pihak sekolah, tindakan sedemikian rupa hanyalah jalan terakhir setelah beberapa prosedur dilakukan yang meliputi pendekatan psikologi dan motivasi, perjumpaan pihak sekolah bersama-sama ibu bapa murid-murid berkenaan, dan mengenakan tindakan rotan. Pada hakikatnya, pihak sekolah tidak pernah sesekali berasa selesa dengan tindakan yang telah diambil lantaran anda semua masih muda remaja yang amat memerlukan bimbingan sama ada dari aspek keilmuan dan pembinaan sahsiah sebagai bekal bagi melayari kehidupan pada masa akan datang. Kami tidak pernah berputus asa atas segala ketidakberkesanan usaha-usaha yang telah dijalankan selama ini. Bagi kami, amanah sebagai pendidik akan terus dijunjung bagi memastikan murid-murid sekolah ini memanfaatkan segala peluang pendidikan yang telah disediakan oleh pihak kerajaan tidak dipersia-siakan begitu sahaja. Untuk itu, pada awal tahun 2010 ini, Program Jom Ke Sekolah kami persembah untuk anda semua sebagai impresi pertama dan komitmen kami selaku warga pendidik sekolah ini.

Murid-murid yang dikasihi,

2. Program ini diwujudkan sebagai satu daripada usaha-usaha kami bagi meningkatkan kehadiran murid berisiko tinggi ponteng dari 50 peratus kepada 70 peratus kehadiran ke sekolah. Usaha peningkatan peratus kehadiran ini bukanlah membawa makna peratus selebihnya sebagai kuota untuk anda menghalalkan kegiatan ponteng sekolah. Peningkatan peratus yang kami hasratkan ini merupakan usaha awal pihak sekolah ke arah ponteng sifar. Usaha mendidik manusia ke arah perkara-perkara yang bersifat positif bukanlah umpama menyediakan mi segera, sebaliknya usaha ini banyak onak durinya yang memerlukan kami bertindak dengan penuh hemah yang bertunjangkan kesabaran yang tinggi, sedangkan Nabi Muhammad SAW yang dikurnia oleh Allah SWT dengan mukjizat yang hebat pun memerlukan 23 tahun untuk melahirkan generasi sahabat yang gilang gemilang. Jadi, peningkatan peratus kehadiran yang menjadi aspirasi sekolah ini merupakan langkah pertama kami bagi mencipta kejayaan. Hal ini selari dengan kata-kata hikmat yang sering diucapkan oleh para pakar motivasi dalam ceramah mereka yang berbunyi, “ Sesungguhnya kejayaan bermula dari langkah yang pertama”. Oleh itu, kami berkeyakinan penuh bahawa langkah pertama itu memang penting, lebih-lebih lagi jika perkara itu dilakukan pada awal tahun. Hal ini sudah tentu boleh menjadi perangsang bagi menjana usaha-usaha seterusnya.

Murid-murid yang dikasihi,

3. Tiada sesiapapun dalam jagat raya ini boleh menafikan bahawa perasaan cinta merupakan fitrah manusia. Cinta itu indah. Bagi merealisasikan suasana sekolah ini bertepatan dengan kalimat yang saya ungkapkan sebentar tadi, pihak sekolah sedang menggemblengkan usaha untuk memanifestasikan unsur-unsur yang membawa murid cinta akan sekolah ini. Kami akan memastikan suasana fizikal sekolah ini sentiasa menampakkan aspek estetik atau keindahan, tidak sesekali menggambarkannya laksana tirai besi atau persis kem x-ray di Teluk Guantanamo yang dibangunkan semata-mata untuk mengindoktrinasi atau tindakan “torture” untuk melahirkan manusia robot. Sebaliknya, kami akan bangunkan fizikal sekolah dan masyarakatnya dengan pengisian program yang akan dapat membangkitkan rasa cinta yang mendalam yang pada akhirnya akan tercetus rasa yang membuak-buak dalam diri peribadi murid-murid untuk datang ke sekolah, tanpa didorong rasa keterpaksaan. Insya-Allah, apabila situasi ini berjaya diterjemahkan, akan terjelmalah ungkapan “Kalau hati sudah suka, semua indah saja” sebagaimana yang terdapat dalam bait lagu “Tanda Kasih” yang didendangkan oleh Allahyarhamah Seniwati Rahmah Rahmat dan Allahyarham Seniman Ahmad Mahmud dalam filem “Isi Neraka” yang diterbitkan pada tahun 1961. Selain itu, ungkapan yang popular dalam kalangan ahli sufi ada menyatakan, “Sesungguhnya keindahanlah yang membawa kepada kebenaran”. Jelasnya di sini, aspek keindahan akan menjadi satu daripada ciri kebitaraan sekolah ini yang akan membawa murid ghairah untuk datang ke sekolah.

Murid-murid yang dikasihi,

4. Usaha murni Program Jom Ke Sekolah tidak akan sempurna jika tidak melibatkan para ibu bapa dan masyarakat setempat kerana sekolah juga merupakan satu daripada institusi masyarakat. Para ibu bapa dan masyarakat setempat akan turut bersama-sama kami memantau tingkah laku murid-murid bagi membendung gejala ponteng sekolah yang berleluasa sejak mutakhir ini. Faktor mengharapkan pihak sekolah semata-mata bagi membendung fenomena ini merupakan pandangan yang kurang tepat. Justeru, pihak sekolah ini akan terus memperkasa hubungan baik dan mesra dengan para ibu bapa dan masyarakat setempat bagi mencari jalan terbaik untuk menangani masalah ini sebelum gejala ini menjadi barah yang akan menggerhanakan masa depan para remaja yang bakal mewarisi kepemimpinan negara yang bertuah ini. Ingatlah pesanan bijaksana “Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”. Oleh hal yang demikian, gejala ponteng tidak lagi terpundak di bahu warga pendidik sahaja, malah perlu juga dipikul bersama-sama oleh para ibu bapa dan masyarakat setempat sebagai kerja berpasukan bagi membanteras kegiatan salah laku ini.

Murid-murid yang dikasihi,

5. Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, izinkan saya memetik kata-kata yang dinukilkan oleh penyair Arab yang bernama Shauki untuk kita bersama-sama merenunginya, antaranya beliau pernah menyebutkan, “ Bahawa jika ingin melihat masa depan sesebuah negara itu, maka lihatlah pada keadaan generasi mudanya hari ini. Jika generasi mudanya hari ini merupakan generasi yang mempunyai jati diri yang unggul dan hebat, adalah menjadi satu jaminan bahawa masa depan negara akan terjamin dan maju. Begitu juga sebaliknya. Sekiranya generasi muda hari ini tidak berpegang pada nilai dan jati diri yang benar, maka lihatlah keruntuhan sesebuah negara yang mana kita tidak berkehendakkannya berlaku”. Akhir kata, dengan lafaz Bismillah hirahmanirahim, saya merasmikan Program Jom Ke Sekolah dengan rasminya. Wassalamualaikum warahmatullahiwabaraktuh. Sekian, terima kasih.

1 comment: