SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN PALONG DUA (FELDA)

VISI
"PENDDIDIKAN BERKUALITI INSAN TERDIDIK NEGARA SEJAHTERA''

MISI
"MELESTARIKAN SISTEM PENDIDIKAN YANG BERKUALITI UNUTK MEMBANGUNKAN POTENSI INDUVIDU BAGI MEMENUHI ASPIRASI NEGARA".

MOTO
BERDISIPLIN MAJU JAYA

SLOGAN
DISIPLIN PERTAMA,
AKADEMIK UTAMA,
KOKURIKULUM BERSAMA.

Wednesday, January 20, 2010

Mesyuarat Sekolah Menjelang 2010

Mesyuarat Pengurusan Sekolah

Pada 17 Disember 2009 baru-baru ini, Mesyuarat Pengurusan SMK Palong Dua (F), Gemas telah diadakan bagi membincangkan segala perancangan yang akan dilaksanakan pada sesi persekolahan 2010. Mesyuarat bermula pada pukul 10:30 pagi. Fokus utama yang dibincangkan ialah pemurnian Manual Pengurusan Sekolah bagi sesi 2010. Pelbagai pandangan telah dilontar oleh barisan AJK Pengurusan Sekolah untuk penambahbaikan manual ini . Topik-topik yang dibincangkan mencakupi pekeliling ikhtisas, peraturan sekolah, tugas-tugas guru dan staf sokongan, takwim 2010, serta kebajikan warga sekolah.


Dalam mesyuarat ini juga, AJK yang hadir turut bersama-sama menyemak ejaan dan ayat yang kedapatan dalam manual ini agar menepati standard sistem ejaan dan tatabahasa Dewan Bahasa dan Pustaka. Hal ini penting bagi memastikan manual ini benar-benar melambangkan kualiti yang dihasratkan.

Suasana mesyuarat pada hari ini berjalan dengan baik dan lancar, sesekali diselang seli dengan suasana lucu, perbezaan pendapat antara ahli, dan apa yang dibanggakan dalam mesyuarat ini, ahli-ahli yang hadir secara konsisten bersikap profesional dan terbuka terhadap sebarang perbezaan pandangan yang wujud antara mereka.

Pada akhir mesyuarat, Pengetua SMK Palong Dua (F), Gemas, Puan Saadiah binti Saad selaku Pengerusi Mesyuarat Pengurusan Sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada AJK yang hadir kerana dapat menyumbangkan idea yang bernas dan praktikal untuk diketengahkan pada sesi persekolahan 2010. Mesyuarat ditangguhkan pada jam 2:30 petang.

Mesyuarat Guru Kali Pertama, Mesyuarat HEM Kali Pertama, dan Mesyuarat Kelab Guru dan Staf Kali Pertama bagi Sesi 2010

Hari ini 23 Disember 2009, tiga mesyuarat telah dijalankan di Balai Ibnu Sina. Mesyuarat Guru bermula pada jam 8:00 pagi. Mesyuarat ini dipengerusi oleh Puan Saadiah binti Saad, Pengetua sekolah ini. Dalam ucapan alu-aluan, beliau memberitahu peri pentingnya guru mempunyai semangat yang tinggi dan sikap kebertanggungjawaban terhadap tugas yang diamanahkan. Beliau juga mengumumkan nama-nama guru yang bertukar ke sekolah lain. Masih terdapat 2 kekosongan jawatan pengurusan di sekolah ini yang belum ada penggantinya, iaitu Ketua Bidang Teknik dan Vokasional dan Ketua Bidang Sains dan Matematik, serta 3 kekosongan bagi jawatan guru akademik. Pendawaian semula surau, bangunan Blok C, dan Blok G telahpun selesai dijalankan. Baik pulih tandas sekolah akan dijalankan pada tahun 2010, tetapi bergantung kepada peruntukan daripada pihak Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan. Pengetua mengucapkan ribuan terima kasih kepada AJK Pengurusan Sekolah kerana bertungkus lumus menyiapkan Manual Pengurusan Sekolah bagi sesi 2010.

Antara perkara yang dibangkitkan dalam mesyuarat ini ialah guru perlu menyediakan minit curai selepas mengikuti taklimat atau kursus yang dihadiri. Selain itu, guru-guru diingatkan supaya mematuhi prosedur-prosedur yang telah ditetapkan untuk pembelian bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran. Buku Kedatangan Murid hendaklah diserah kepada pihak pejabat selewat-lewatnya pada waktu kedua.

Topik utama yang dibincangkan dalam mesyuarat kali pertama ini berfokus pada hala tuju sekolah pada tahun-tahun yang akan datang, perancangan strategik, dan kebitaraan sekolah.

Dalam mesyuarat ini juga, Cik Hazlina binti Rani, Guru Penolong Kanan, telah memberi taklimat tentang Manual Pengurusan Sekolah bagi sesi 2010. Beliau telah menjawab segala persoalan yang ditimbulkan oleh guru-guru yang hadir berkaitan dengan peraturan-peraturan yang terkandung dalam manual ini. Mesyuarat Guru ditangguhkan pada jam 11:15 pagi.

Pada jam 11:45 pagi, berlangsung pula Mesyuarat HEM. Puan Latifah binti Mansor selaku GPK HEM memberi taklimat tentang pengurusan kelas yang meliputi hal-hal yang berkaitan dengan Rekod Kedatangan Murid, pungutan Bayaran Tambahan, kebersihan dan keceriaan kelas, buku log kelas, dan disiplin. Beliau turut memberi penerangan tentang peraturan-peraturan yang berhubung kait dengan hal ehwal murid yang terdapat dalam Manual Pengurusan Sekolah. Harapan beliau, semua guru dapat mematuhi segala prosedur yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang isu yang boleh menjejaskan profesion keguruan dan nama baik sekolah. Dalam mesyuarat ini, beliau juga menerang tentang perjalanan Program Pendaftaran Murid Tingkatan Satu bagi sesi 2010 yang akan diadakan pada 2 Januari 2010. Akhir sekali, Puan Latifah mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Bencana atas arahan Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan. Mesyuarat HEM ditangguhkan pada pukul 1:29 tengah hari.

Seterusnya, pada jam 1:25 tengah hari, Mesyuarat Kelab Guru dan Staf dijalankan dengan dipengerusikan oleh Encik Amenudin bin Ahmad, mantan Pengerusi Kelab Guru dan Staf bagi sesi 2009. Dalam mesyuarat ini, beliau melaporkan aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan sepanjang tahun 2009, serta membentangkan penyata kira-kira kelab. Agenda utama mesyuarat ini ialah pemilihan AJK baharu bagi sesi 2010. Keputusan pemilihan adalah seperti yang berikut:

1. Pengerusi I: Encik Junaidi bin Yahya
2. Pengerusi II: Encik Azman bin Kassim
3. SetiausahaI: Cik Suhailiza binti Sulaiman
4. SetiausahaII: Cik Khusnil Khotimah binti Idris
5. Bendahari I: Cik Aimi Sarah binti Che Azmi
6. Bendahari II: Puan Rafidah binti Othman

Manakala ahli-ahli jawatankuasa pula akan dipilih oleh pihak pengurusan sekolah dalam masa yang terdekat.

Dalam ucapan penangguhan, Encik Junaidi bin Yahya selaku Pengerusi Kelab Guru dan Staf bagi sesi 2010 berharap mendapat kerjasama yang erat daripada para guru dan staf sokongan bagi memastikan segala perancangan kelab pada tahun 2010 dapat dijalankan dengan penuh kejayaan seperti tahun-tahun sebelumnya, bahkan dapat dipertingkat dan dilakukan penambahbaikan bagi mana-mana program yang pernah dijalankan. Mesyuarat Kelab Guru dan Staf berakhir pada jam 1:55 tengah hari.

Mesyuarat Kokurikulum Kali Pertama bagi Sesi 2010

24 Disember 2009, bertempat di Balai Ibnu Sina, jam 8:00 pagi, Mesyuarat Kokurikulum Kali Pertama untuk sesi 2010 telah dijalankan dan dipengerusi oleh Puan Saadiah binti Saad, Pengetua SMK Palong Dua (F). Beliau memberi penerangan tentang Instrumen Pemantauan Prestasi Sekolah yang menggariskan langkah-langkah bagaimana membina kecemerlangan sekolah dalam bidang kokurikulum. Ujar beliau lagi, setiap guru perlu memastikan segala peralatan dan kemudahan yang digunakan untuk kegiatan kokurikulum berada dalam keadaan baik dan sempurna. Guru-guru juga perlu menggalakkkan murid-murid memanfaatkan segala kemudahan sukan yang terdapat di sekolah ini. Gambar murid-murid yang berjaya dalam kejohanan yang mereka sertai hendaklah dipaparkan pada papan info sekolah sebagai tanda penghargaan dan untuk meningkatkan motivasi mereka. Galakkan murid-murid berlatih secara kendiri dan pastikan mereka berlatih secara konsisten.Murid-murid hendaklah dilatih dengan teknik yang betul dan pemantauan hendaklah sentiasa dijalankan. Guru-guru perlu merancang aktiviti yang hendak dijalankan dan pastikan aktiviti tersebut dapat menarik minat murid. Guru-guru juga perlu mengenal pasti tahap kesihatan murid-murid mereka. Galakan juga perlu diberi kepada murid-murid yang berbakat dalam bidang penulisan untuk menyertai pertandingan penulisan esei sama ada anjuran agensi kerajaan, GLC atau pihak swasta.

Pengetua turut memberi penerangan tentang hala tuju bidang kokurikulum sekolah, dan menyampaikan taklimat tentang pengagihan tugas guru dalam bidang kokurikulum untuk sesi 2010. Pesan beliau, guru-guru baharu hendaklah menimba seberapa banyak pengetahuan daripada guru-guru yang berpengalaman.

YM Tengku Riduan bin Raja Yunus, Guru Penolong Kanan Kokurikulum, berharap guru-guru dapat menerima dengan hati terbuka terhadap tugas-tugas yang diamanahkan kepada mereka. Kata beliau lagi, mulai 2010 semua murid diwajib memiliki Buku Perancangan Kokurikulum tanpa sebarang pengecualian. Mana-mana murid yang telah membeli buku tersebut pada sesi lepas, boleh terus menggunakannya. Buku Pengurusan Kokurikulum akan dibekalkan kepada setiap Ketua Penasihat (guru). Buku ini perlu diisi dengan maklumat yang lengkap dan perlu dibawa bersama-sama semasa kegiatan kokurikulum dijalankan. Buku ini hendaklah diserahkan kepada GPK Kokurikulum sebaik sahaja aktiviti berakhir.

GPK kokurikulum juga mengumumkan tarikh Mesyuarat Agung Pemilihan AJK baharu bagi kelab/persatuan, unit beruniform, dan permainan untuk sesi 2010, iaitu pada 6 Januari 2010. Kejohanan Merentas Desa peringkat sekolah akan dijalankan pada 12 Januari 2010, manakala Kejohanan Olahraga Tahunan pula pada 3 Februari 2010. Dalam mesyuarat ini juga beliau membentangkan Jadual Kejohanan MSSMNS bagi 2010. Perinciannya adalah seperti yang berikut:


Bil.
Permainan
Peringkat
Tarikh
Pengelola
1.
Ping Pong
Daerah
9-10 Februari 2010
SMK Seri Perpatih
Negeri
19-21 Februari 2010
SMK Bukit Mewah
2.
Catur
Daerah
2-3 Februari 2010
SBPI Jempol
Negeri




3.
Merentas Desa
Daerah
15 Februari 2010
SMK Undang Jelebu
Negeri
22 April 2010
SMK Seremban 2
4.
Badminton
Daerah
29-31 Mac 2010
SMK Serting Hilir Kompleks
Negeri
21-22 April 2010
SMK Tuanku Muhammad
5.
Bola Baling Bawah 18 Tahun
Daerah
5-6 Mei 2010
SMK Triang Hilir
Negeri
12-13 Mei 2010
SMA Pedas
6.
Bola Jaring Bawah 18 Tahun
Daerah
7-9 April 2010
SMK Lui Barat
Negeri
20-21 Mei 2010
SMKTS
7.
Bola Tampar
Daerah
24-26 Mac 2010
SMK Palong 7
Negeri
3-4 Mei 2010
SMK Kg Baru Port Dickson
8.
Sepak Takraw
Daerah
11-13 Mei 2010
SMK DUMA
Negeri
25-26 Mei 2010
SMT Kuala Klawang
9.
Bola Sepak Bawah 15 Tahun
Daerah
20-22 April 2010
SMKBBS
Negeri
10-14 Mei 2010
SMK Datuk Mansor
10.
Tenis Bawah 18 Tahun
Daerah
6-8 April 2010
SMK Seri Jempol
Negeri
11-14 Mei 2010
PPD Port Dickson
11.
Olahraga
Daerah
12-16 April 2010
SMK Chi Wen
Negeri
27-30 April 2010
SMK Za’ba
12.
Memanah
Negeri
27-30 April
SMK Tunku Durah

Dalam hal-hal lain, Cikgu Zainal mencadangkan sekolah ini perlu memperbanyak pertandingan peringkat dalaman bagi menarik minat murid mengikuti aktiviti kokurikulum. Cikgu Hazlina pula mengajak guru-guru bersama-sama mewujudkan senario positif semasa menjalankan aktiviti kokurikulum. Mesyuarat ditangguhkan pada jam 10:45 pagi.

Mesyuarat Kurikulum Kali Pertama 2010

24 Disember 2009, jam 11:30 pagi, bertempat di Balai Ibnu Sina, Mesyuarat Kurikulum Kali Pertama bagi sesi 2010 telah dipengerusikan oleh Pengetua, Puan Saadiah binti Saad. Antara topik penting yang dibincangkan ialah penggubalan soalan ujian yang perlu dibina mengikut format LPM dan soalan ujian yang dikemukakan kepada murid hendaklah berdasarkan topik-topik yang telah diajar. Penulisan Buku Rekod Pengajaran dan Pembelajaran hendaklah dirancang dengan sebaik-baiknya. Bengkel akademik akan diteruskan pada 2010. Headcount murid hendak dicatat pada ruangan yang disediakan dalam BRP. Pelan strategik, pelan taktikal, dan pelan operasi bagi unit yang dipertanggungjawab kepada guru-guru hendaklah diserahkan kepada Guru Penolong Kanan.

Pengetua menyeru semua guru sentiasa muhasabah diri bagi mempertingkat kualiti kerja. Nasihat beliau, panitia-panitia mata pelajaran perlu membincangkan perkara-perkara yang dapat membantu p&p murid-murid. Guru-guru perlu membuat sekurang-kurangnya 5 bahan bantu mengajar dan serahkan maklumat tentang bbm yang dibina kepada GPM untuk tujuan rekod. Bina soalan ujian berdasarkan nisbah 5:3:2. Sediakan carta gantt untuk program yang hendak dilaksanakan. Guru-guru diminta mempamerkan nama-nama pelajar yang mencapai kecemerlangan akademik di papan info sekolah bagi mewujudkan budaya persaingan antara mereka. Beliau juga mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada guru-guru yang memperoleh kejayaan lulus 100 peratus dalam subjek diajar dalam PMR 2009. Mesyuarat ditangguhkan pada pukul 2:45 petang.




No comments:

Post a Comment