SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN PALONG DUA (FELDA)

VISI
"PENDDIDIKAN BERKUALITI INSAN TERDIDIK NEGARA SEJAHTERA''

MISI
"MELESTARIKAN SISTEM PENDIDIKAN YANG BERKUALITI UNUTK MEMBANGUNKAN POTENSI INDUVIDU BAGI MEMENUHI ASPIRASI NEGARA".

MOTO
BERDISIPLIN MAJU JAYA

SLOGAN
DISIPLIN PERTAMA,
AKADEMIK UTAMA,
KOKURIKULUM BERSAMA.

Tuesday, February 2, 2010

Rencana: Bahasa Jiwa Bangsa


Dalam Perlembagaan Persekutuan telah termaktub kedudukan istimewa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Kedudukan istimewa ini tidak sekadar tersurat dalam perlembagaan semata-mata, bahkan telah diterjemah dalam penggubalan dan pelaksanaan pelbagai dasar kerajaan. Bahasa Melayu diwajibkan penggunaannya dalam urusan rasmi kerajaan. Dasar pendidikan juga menetapkan bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan. Nawaitunya hanyalah untuk memastikan bahasa ini dapat dihayati dan diamalkan secara meluas dalam kalangan warganya.


Bahasa Melayu juga berperanan sebagai wahana perpaduan dalam negara yang penduduknya bersifat majmuk seperti Malaysia. Realiti yang wujud ini menuntut penggunaan satu bahasa bagi memupuk dan menyuburkan perasaan kebersamaan antara penduduk yang berbilang kaum dan seterusnya dapat melupakan perbezaan yang wujud antara mereka. Bahasa Melayu tidak lagi dipandang atas fahaman cauvanisme sempit tetapi dijadikan sebagai bahasa milik semua. Hal ini selaras dengan aspirasi pucuk pimpinan negara kita pada masa kini yang mencetuskan Gagasan 1 Malaysia.

Pendaulatan bahasa Melayu sebenarnya tidak bertitik noktah pada sudut bahasa rasmi negara dan bahasa perpaduan sahaja, sebaliknya pemartabatan bahasa ini juga mengajak kita muhasabah diri tentang sejauh mana keyakinan kita terhadap keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan medium yang berkeupayaan membina kemajuan negara. Kita perlu membina kembali keyakinan yang menunjangi jiwa warga kita selama ini. Sebenarnya, bahasa Melayu BOLEH. Keyakinan ini berdasarkan fakta bahawa  yang  sejak sekian lama digunakan dalam sistem pendidikan kebangsaan  telah berjaya mengukir tinta emas bagi memartabatkan negara kita sehingga berjaya berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara lain yang telah membina kemajuan beracuankan bahasa ibunda sendiri.

Persepsi yang menyatakan bahawa bahasa Melayu tidak berupaya menjadi bahasa ilmu dan bahasa kemajuan merupakan tanggapan yang meleset dan perlu diperbetul. Sesuatu bahasa bukanlah semata-mata bergantung kepada sistem bahasa itu, tetapi turut berkait rapat dengan budaya yang mewarnai sikap bangsa itu sendiri. Kata cerdik pandai, “Hilang bahasa lenyaplah bangsa”. Maruah sesuatu bangsa akan tinggi dan dipandang mulia apabila bahasanya diberi nilai tambah untuk mengungkap ilmu-ilmu yang tinggi, bukannya semata-mata dipersempit dalam mandala ilmu-ilmu persis mantera, guna-guna, magis, dan seumpamanya yang tidak dapat dipertanggungjawab dari sudut epistimologi.

Sesungguhnya sejarah tidak pernah menipu kita.  Jika kita mengimbas kembali sejarah, tradisi keilmuan dan persuratan bangsa kita adalah cukup gemilang. Kalau di Barat mereka bermegah dengan Chaucer, di Alam Melayu pula kita ada Hamzah Fansuri yang tidak kurang hebat dengan rubainya yang menggetarkan jiwa dan tersirat seribu satu makna yang melangkaui alam materi. Kalau di Barat  pada kurun ke 14 mereka ada Canterbury Tales, manakala di Alam Melayu, kita sudahpun ada Hikayat Raja-raja Pasai. Hal ini jelas menunjukkan bahawa bahasa kita pada ketika itu bukan digunakan untuk pertuturan dan  cerita lipur lara semata-mata, malah telah berjaya  mengungkap falsafah dan budaya tinggi yang menggambarkan tahap intelektual bangsa kita sejak zaman-berzaman. Hukum Kanun Melaka dan Hikayat Hang Tuah antara contoh karya agung bangsa kita yang diungkapkan dalam bahasa Melayu. Fakta ini jelas membuktikan bahawa bahasa Melayu kita telah mencapai status bahasa ilmu tinggi sejak sekian lama.

Sudah terang lagi bersuluh, bahasa Melayu tidak boleh sesekali dimomok  dan diperlekeh sebagai  bahasa mandul yang tidak berkemampuan mengungkap sebarang cabang disiplin  ilmu sama ada sains, teknologi, politik, ekonomi, dan apa-apa jua bidang ilmu yang lain. Justeru, sudah menjadi tanggungjawab kita sekarang ini untuk mempertingkat fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan. Kita perlu sedar sekiranya bahasa Melayu tidak lagi menjadi bahasa ilmu dan bahasa kemajuan, maka lama-kelamaan bahasa kita akan hilang kepentingannya, tidak lagi relevan dengan tuntutan semasa, dan lebih parah lagi akan pupus di buminya sendiri, yang akhirnya dimuziumkan sebagaimana nasib bahasa Latin.  Tidak berguna lagi apabila pada suatu hari kelak, kita asyik bernostalgia dengan keagungan dan kehebatan masa lampau bahasa kita. Bagi mengelakkan mimpi ngeri ini, perjuangan bagi memartabat dan melestarikan bahasa Melayu perlu diteruskan dan diperkasa secara istiqamah untuk memastikannya malar segar sepanjang zaman. Janganlah kita terjerumus dalam situasi yang dikejar tak dapat dan yang dikendung pula berciciran.


Yang kurik itu kundi, yang merah itu saga,
Yang elok itu budi, yang indah itu bahasa.

No comments:

Post a Comment