SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN PALONG DUA (FELDA)

VISI
"PENDDIDIKAN BERKUALITI INSAN TERDIDIK NEGARA SEJAHTERA''

MISI
"MELESTARIKAN SISTEM PENDIDIKAN YANG BERKUALITI UNUTK MEMBANGUNKAN POTENSI INDUVIDU BAGI MEMENUHI ASPIRASI NEGARA".

MOTO
BERDISIPLIN MAJU JAYA

SLOGAN
DISIPLIN PERTAMA,
AKADEMIK UTAMA,
KOKURIKULUM BERSAMA.

Saturday, February 20, 2010

Marilah Menghayati Matlamat Penubuhan Felda

Marilah kita mengimbau kembali sejarah penubuhan FELDA untuk muhasabah diri dan memperbaharu azam bagi menentukan hala tuju organisasi ini mencapai targetnya. "Melayu mudah lupa",  itulah ungkapan yang sering dilaungkan dalam mana-mana pentas politik  sebelum kita mengecapi nikmat kemerdekaan lagi. Penubuhan FELDA pada tahun 1956 melalui usaha Mantan Perdana Menteri Malaysia yang kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak bin Hussein telah menjadi titik tolak untuk meningkatkan ekonomi orang Melayu di luar bandar. Penubuhan Felda adalah untuk menyeimbangkan pembahagian kek ekonomi di dalam negara yang tercinta ini agar tidak wujud lagi jurang pencapaian ekonomi yang ketara dalam kalangan masyarakatnya yang berbilang kaum. Sesungguhnya penubuhan organisasi Felda ini telah memberi impak jangka pendek dan juga impak jangka panjang terhadap survival nasib bangsa Melayu dan Bumiputera dalam usaha membina status ekonomi sosial mereka.


Di Negeri Sembilan misalnya, sejarah pembukaan tanah rancangan bermula pada tahun 1960 dengan pembukaan LBJ Sendayan dan Sungai Lui. Setakat ini, sebanyak 43 tanah rancangan berada di Gemas, Jelebu, Jempol, Kuala Pilah, dan Tampin. Ketika ini terdapat dua jenis tanaman diusahakan iaitu kelapa sawit dan getah. Dua tanah rancangan iaitu Kampung LBJ dan Sendayan yang terletak di daerah Seremban telah dikeluarkan dari Felda berikutan pengambilalihan Kerajaan Negeri Sembilan bagi tujuan pembangunan. Pengambilalihan ini tetap bertunjangkan prinsip “situasi menang-menang”. Hal ini selaras dengan pendirian kerajaan yang berpegang  pada gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Pada tahun 2006, Felda Wilayah Seremban ditukarkan namanya kepada Felda Wilayah Raja Alias sempena nama bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Raja Alias yang banyak berjasa kepada pembangunan Felda dan masyarakat Felda. Berdasarkan maklumat terkini, di daerah Jempol sahaja terdapat 30 tanah rancangan, diikuti enam di Gemas, masing-masing tiga di Tampin dan Jelebu, serta satu di Kuala Pilah. Pengagihan jenis tanaman di tanah-tanah rancangan ini ialah 14 tanah rancangan mengusahakan kebun getah diikuti tujuh tanah rancangan mengusahakan penanaman kelapa sawit, manakala kelapa sawit dan getah pula melibatkan 22 tanah rancangan.

Dalam usaha memastikan kehidupan masyarakat peneroka berada dalam keadaan baik dan selesa, Felda telah menyediakan pelbagai kemudahan asas untuk kegunaan golongan ini, antara kemudahan tersebut ialah sekolah, pusat kesihatan, masjid, pejabat pos, balai polis, dewan serbaguna, kompleks sukan, gelanggang futsal, surau, kuil, padang awam, stesen minyak, balai raya, klinik bidan dan bangunan Pusat Dalam Komuniti (PDK). Di daerah Jempol yang mempunyai 30 tanah rancangan misalnya, kita dapat menyaksikan kawasan sekitar daerah ini mengalami pelbagai perubahan. Pelbagai infrastruktur dibina untuk kemudahan orang ramai yang secara tidak langsung memberi manfaat kepada warga peneroka di kawasan Jempol. Antara kemudahan yang disediakan untuk masyarakat di daerah ini ialah Bandar Seri Jempol, Hospital Jempol, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Pejabat Veterinar, dan Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi daerah Jempol. Kilang-kilang juga telah dibina, antaranya kilang sawit milik FPISB yang beroperasi di Serting, Serting Hilir dan Pasoh, manakala kilang getah FPISB pula terdapat di Pasir Besar, Palong 8, dan Serting Hilir.

Demi Mengurangkan kebergantungan para peneroka terhadap pendapatan hasil kebun, pihak kerajaan melalui Felda telah memberi galakan kepada para peneroka melibatkan diri dalam industri bukan ladang yang bertujuan untuk meningkatkan pendapatan keluarga. Sehubungan itu, mereka telah dibantu mengusahakan tanah-tanah terbiar bagi projek pertanian seperti akuakultur, ternakan, perusahaan, tanaman, perniagaan, dan perkhidmatan. Industri kraftangan juga turut diusahakan oleh penerokawati atau isteri peneroka bagi tujuan mengisi masa lapang, dan secara tidak langsung dapat membantu suami masing-masing mencari pendapatan tambahan. Tindakan proaktif ini dapat mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh golongan peneroka, lebih-lebih lagi bagi menghadapi situasi peningkatan harga minyak yang mendadak dan ketidaktentuan ekonomi global sejak mutakhir ini.

Sebagai entiti yang sentiasa peka terhadap tuntutan semasa, pihak Felda telah mengetengahkan idea Satu Wilayah Satu Industri atau akronimnya Sawari. Projek Satu Wilayah Satu Industri (Sawari) mula diperkenalkan pada tahun 2003 bermatlamat untuk menambah pendapatan isi rumah peneroka. Bagi merealisasikannya, satu projek tekstil telah dijalankan oleh Gerakan Persatuan Wanita Raja Alias yang membabitkan isteri peneroka, kumpulan belia, dan golongan ibu tunggal. Produk tekstil yang dihasilkan ialah set cadar pengantin, set cadar, alas meja makan, sarung kusyen, langsir, telekung, dan set comforter. Projek ini telah berjaya menambahkan pendapatan keluarga dan telah diketengahkan sebagai identiti produk keluaran Felda Wilayah Raja Alias di bawah Projek Satu Wilayah Satu Industri (Sawari). Semenjak diperkenalkan projek Sawari, kebanyakan mereka mampu memperoleh pendapatan sehingga melebihi RM 700.00 sebulan berbanding dalam lingkungan RM 500.00 sebulan sebelum ini. Hal ini secara tidak langsung akan dapat mengurangkan kadar kemiskinan dalam kalangan masyarakat Felda.

Sebenarnya bantuan pihak kerajaan tidak bertitik noktah dalam kedua-dua aspek tersebut, malahan pihak kerajaan telah membantu para peneroka di Serting Hilir 5 menerusi Projek F’Best Homestay iaitu satu produk pelancongan yang memperkenalkan kehidupan masyarakat peneroka kepada pelancong luar. Projek ini telah bermula pada tahun 2004 dengan menempatkan pelancong tempatan dan asing menginap di rumah-rumah peneroka. Pengenalan projek ini telah memberi pengalaman sebenar dan satu memori indah terhadap pelancong terutama dari luar negara merasai suasana kampung yang aman dan tenteram yang tidak kedapatan di negara mereka yang hanya dipenuhi dengan hutan-hutan konkrit.

Dalam usaha kerajaan memperkasa golongan peneroka menerokai bidang keusahawanan, generasi muda Felda tidak sesekali diabaikan kerana mereka merupakan golongan pelapis yang bakal mewarisi tanah bertuah ini bagi menentukan warisan ini tidak terbiar akibat tidak mampu mendepani arus perkembangan zaman yang sentiasa berubah dan didominasi oleh kuasa-kuasa besar ekonomi dunia melalui sikap mereka yang cenderung membuat spekulasi dan memanipulasi negara-negara dunia ketiga. Penekanan peri pentingnya pendidikan terhadap generasi muda Felda tidak pernah dikompromi oleh pihak kerajaan yang memerintah. Bagi menterjemahkan hasrat ini, pihak kerajaan telah mewujudkan Skim Tuisyen Felda (STF) untuk murid-murid yang akan menduduki peperiksaan UPSR, PMR, dan SPM. Alhamdulillah, komitmen yang diberikan dalam hal ini telah membuahkan hasil apabila ramai anak Felda telah berjaya melanjutkan pengajian ke institut pengajian tinggi dan memiliki kerjaya bertaraf professional seperti doktor, peguam, jurutera, tokoh korporat, malah ada juga dalam kalangan mereka menjadi wakil rakyat.

Bagi memastikan kelangsungan hidup anak-anak Felda agar tidak terus terus tercicir dalam menghadapi cabaran arus pasaran pekerjaan, Kolej Integrasi Ilmu (Kolej KINI) telah ditubuhkan untuk anak-anak Felda di Wilayah Raja Alias yang menawarkan pelbagai program latihan kepada mereka. Dengan kewujudan kolej ini, anak-anak Felda telah mendapat pembelaan yang sewajarnya bagi meneruskan pengajian untuk meningkatkan nilai tambah (add-value) terhadap diri mereka bagi menghadapi persaingan kerjaya dalam pasaran kerja pada masa kini yang amat menitikberatkan penguasaan kemahiran tertentu, di samping penguasaan yang mantap dalam bahasa Inggeris. Oleh hal yang demikian, anak-anak Felda janganlah menjadi penonton sahaja dan rebutlah peluang yang diwujudkan bagi memartabatkan masyarakat Felda agar tidak dilabel sebagai masyarakat “gotah lantun atau buah sawit” semata-mata.

Percayalah, semua anak Felda boleh melakukannya. Anda semualah yang akan mengubah lanskap kehidupan masyarakat Felda yang berkemampuan berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan masyarakat lain yang telah lama maju. Pihak kerajaan tetap melakukan pemugaran terhadap organisasi Felda dari semasa ke semasa bagi memastikan organisasi ini kekal relevan sepanjang zaman. Apa yang penting, segala yang dirancang oleh pihak kerajaan hendaklah diiringi dengan komitmen yang jitu daripada anak-anak Felda. Ingatlah firman Allah SWT yang mafhumnya, "Allah tidak sesekali mengubah nasib sesuatu kaum, melainkan kaum itu sendiri berusaha untuk berubah."

1 comment: