SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN PALONG DUA (FELDA)

VISI
"PENDDIDIKAN BERKUALITI INSAN TERDIDIK NEGARA SEJAHTERA''

MISI
"MELESTARIKAN SISTEM PENDIDIKAN YANG BERKUALITI UNUTK MEMBANGUNKAN POTENSI INDUVIDU BAGI MEMENUHI ASPIRASI NEGARA".

MOTO
BERDISIPLIN MAJU JAYA

SLOGAN
DISIPLIN PERTAMA,
AKADEMIK UTAMA,
KOKURIKULUM BERSAMA.

Saturday, January 15, 2011

CIKGU MD WAZIR BIN IDRIS

Jasa Baktimu Dikenang Dalam Memartabat 
PSS SMK Palong Dua (F), Gemas

Buat sahabatku yang bernama Md Wazir bin Idris, jasamu kukenangi sepanjang hayat atas hubungan erat sebagai sahabat dan rakan sekerja yang banyak menolongku ketika aku bergelumang dengan amanah yang memberati kedua-dua pundakku. Terpahat kukuh dalam memoriku, tahun 2010 merupakan tahun yang penuh dengan cabaran buat diriku, tahun aku diberi kepercayaan untuk memikul pelbagai tugas dengan pelbagai sifat yang tak akan ku senarai pendek dalam ruangan ini
. Cuma yang aku mampu ungkapkan di sini bahawa tugas-tugas itu telah memperlambat pergerakan fizikal dan mindaku sehingga aku bertingkah persis seorang abid yang berkhalwat di kamar khutub khanah untuk mencari kekuatan dan menyerap segala amarah yang menyelimuti ruang kalbu. Tapi langit mendung itu ada peleraiannya, lantaran muncul kamu yang sanggup menghulurkan bantuan keramat yang tidak sekadar berupa kata-kata nasihat yang muluk-muluk, tapi dimanifestasi dengan sesuatu yang bersifat realiti. Masih kuingat bagaimana kau telah bertungkus-lumus mengerah kudrat tubuh dan akal budimu buat membangun legasi idea Pengetua terdahulu iaitu Galeri Anugerah yang unik sifatnya kerana agak asing kewujudannya di mana-mana jua sekolah di bumi Tanah Melayu ini. Atas kurniaan Ilahi Rabbi yang tergambar padamu berupa bakat laksana seorang seniman, maka terpaparlah sebuah galeri yang hidup dan lepas bebas daripada labelan gajah putih, kerana tidak semata-mata terhias dengan gambaran stereotaip ibarat almari hiasan,  tetapi galeri ini penuh dengan bait-bait ilmu yang memberikan imej tawarikh kejayaan sekolah sejak sekian lama. Bukan mudah untuk menenun lembaran  satin yang halus dan lembut buat hiasan di pelaminan. Hanya insan yang halus jiwanya yang mampu mengungkap imbangan zahir dan batin. Aku ingat lagi semasa pemantau dari BTP Negeri Sembilan hadir ke SMKPD untuk menjalankan Penarafan PSS Peringkat Negeri 2010, terkesima akan mereka apabila melihat susun atur anugerah secara bertema dengan kronologi peristiwa yang mengiringinya. Maka keluarlah daripada aku lisan yang menyentuh sukma pemantau itu bahawa galeri ini bukannya terbina  ibarat menanam kangkung, “campak dalam kolam hari ini, esok tunasnya menguntum”. Tidak sia-sia rupanya lisanku ini, wal hasilnya pada hujung Disember 2010, PSS SMKPD telah berjaya beroleh tempat ketiga dalam Penarafan PSS Tahun 2010 Peringkat Negeri Sembilan meski terpaksa bertarung dalam serba kedaifan dalam segenap segi dengan sekolah-sekolah yang pernah menempa nama di peringkat kebangsaan, PCGnya besar, enrolmen pelajar mencapai empat digit, PIBG yang kukuh kedudukan kewangannya, dan dibarisi pula dengan guru-guru yang hebat. Sayangnya, kegembiraan aku ini tidak berkekalan. Ikatan persahabatan aku dengan seniman ini dalam satu wadah berakhir pada tanggal 31 Disember 2010. Atas kalimah “Saya yang menurut perintah” berlayarlah Cikgu Md Wazir bin Idris ke mandala SMK Gemas bersama-sama kapal yang palkanya penuh dengan khazanah kreativiti dan inovasi. Doaku, semoga Allah SWT mengurniakan kejayaan buat kau di sana nanti. Benih yang baik jatuh ke laut akan menjadi pulau. Akhir kalam, ucapan jazakallahu khairan kasira buat sahabatku Md Wazir bin Idris.



Nukilan

Nazari bin Othman
Guru Perpustakaan dan Media
SMK Palong Dua (F), Gemas

1 comment:

  1. Seorang individu yang dianugerahi oleh Allah dengan bakat dan kemahiran yang unik dan versatile. Hanya jauhari yang kenal manikam. Seorang yang sensitif dan tajam pengamatannya.Perlu pandai berinteraksi dan berkomunikasi dengan insan sepertinya.

    ReplyDelete