SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN PALONG DUA (FELDA)

VISI
"PENDDIDIKAN BERKUALITI INSAN TERDIDIK NEGARA SEJAHTERA''

MISI
"MELESTARIKAN SISTEM PENDIDIKAN YANG BERKUALITI UNUTK MEMBANGUNKAN POTENSI INDUVIDU BAGI MEMENUHI ASPIRASI NEGARA".

MOTO
BERDISIPLIN MAJU JAYA

SLOGAN
DISIPLIN PERTAMA,
AKADEMIK UTAMA,
KOKURIKULUM BERSAMA.

Friday, April 30, 2010

Tanggungjawab sebagai Pengerusi Majlis

Pengacara atau pengerusi majlis atau juruacara atau nama popularnya dalam kalangan khalayak iaitu mc merupakan satu tanggungjawab yang tidak boleh dipandang enteng oleh mana-mana individu atau mana-mana pihak yang mengundang mc berkenaan untuk memikul tanggungjawab ini dalam mengendalikan majlis anjuran mereka. Pengerusi majlis berperanan sebagai nadi penggerak, pengawal, penghidup, dan penceria bagi sesuatu majlis yang dijalankan tanpa mengira apa-apa jua bentuk sesuatu majlis itu. Pengerusi majlis perlu arif tentang perjalanan dan hal ehwal sesuatu majlis agar selari dengan pengacaraan yang bakal dijalankan agar tidak kelihatan canggung dan hambar. Hanya pengerusi majlis yang benar-benar arif terhadap latar, objektif, dan program yang dijalankan,  dapat menterjemah bait-bait skrip yang dikarangi sehingga mewujudkan suasana yang menyentap psiki ahli yang menghadiri majlis yang diadakan. 

Bagi menzahirkan suasana seumpama ini, pengerusi majlis hendaklah berlatarbelakangkan individu yang berketerampilan dalam penggunaan bahasa sama ada dalam aspek penulisan ataupun aspek lisan. Hal ini penting kerana melalui canaian bahasa yang berbunga, bervariasi, dan indah tetapi mantap mampu membangkitkan emosi audiensnya, apatah lagi apabila disulami  dengan pengucapan yang berintonasi dan penuh penghayatan. Pertautan yang mantap hasil gabungan kekuatan dalam kedua-dua aspek ini pasti menjadikan majlis kendalian mereka terserlah afalnya.

Tidak memadai bagi seseorang pengerusi majlis sekadar menguasai kefasihan berbahasa semata-mata,  pengerusi majlis juga perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam bidang protokol terutamanya yang berkaitan dengan pengendalian majlis rasmi, etiket sosial dalam majlis rasmi, kesopanan dalam majlis, cita rasa berpakaian dan penampilan sahsiah rupa diri yang bersesuaian dengan suasana majlis, serta pengetahuan susunan keutamaan atau kekananan dan perkara yang seumpamanya. Penguasaan pengetahuan  dan kemahiran ini amat penting bagi memastikan pengendalian majlis tidak berlaku kesilapan dan tidak menyinggung mana-mana pihak.

Antara perkara yang tidak kurang pentingnya bagi seseorang pengerusi majlis sebelum mendraf skrip pengacaraan majlis yang bakal mereka kendalikan ialah mereka perlu memperoleh maklumat tentang majlis tersebut. Antara maklumat yang perlu mereka dapatkan ialah nama majlis, nama pihak penganjur, nama-nama tetamu kehormat, tempat,  tarikh, waktu, dan atur cara majlis. Dalam banyak-banyak maklumat ini, atur cara majlislah yang perlu diberi perhatian   oleh para pengacara majlis kerana atur cara majlis merupakan rujukan utama yang dapat memastikan wujudnya kesinambungan dalam perjalanan pengacaraan majlis yang mereka kelolakan. Pematuhan terhadap atur cara majlis yang diitetapkan dapat memastikan majlis mengikut tertib dan berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan.

Seseorang pengacara majlis juga perlu berfungsi sebagai penyampai mesej yang berkesan.  Selain mengumumkan maklumat-maklumat yang berkait langsung dengan atur cara majlis yang dijalankan, mereka juga perlu menyediakan ulasan atau praulasan terhadap atur cara atau program yang diadakan bagi menghidupkan majlis tersebut. Ulasan-ulasan ini penting terutamanya teks-teks ucapan majlis-majlis rasmi  kerana kebijaksanaan pengerusi majlis menonjolkan inti sari setiap teks ucapan tersebut dapat memperteguh mesej atau amanat yang hendak disampaikan oleh perucap dalam sesuatu majlis itu. Walau bagaimanapun, ulasan-ulasan tersebut hendaklah dilakukan secara sederhana tetapi padat, kerana dikhuatiri ulasan-ulasan yang berjela-jela boleh menjejaskan mood sesuatu majlis itu.

Pengacara majlis juga perlu mempunyai hubungan yang rapat dengan pihak penganjur atau jawatankuasa penganjur sesuatu majlis yang diadakan. Hal ini kerana pihak penganjurlah merupakan sumber maklumat utama bagi pengacara majlis. Hubungan erat antara pengacara majlis dengan pihak penganjur perlu dikekalkan hinggalah pada saat sesuatu majlis itu berlangsung, kerana kadang-kadang kedapatan perubahan-perubahan dalam atur cara asal . Justeru, pengacara majlis perlu sentiasa peka dan bersedia untuk mengubah suai skrip mereka dengan perubahan-perubahan yang terkini. Kegagalan mereka menjalinkan hubungan baik dengan pihak penganjur, pasti akan mewujudkan lompang-lompang yang bakal merosakkan majlis.

Konklusinya, tanggungjawab sebagai pengacara majlis tidaklah semudah disangkakan. Mereka perlu memiliki kriteria-kriteria tertentu bagi memastikan amanah ini dapat dijalankan penuh tertib dan mencapai standard sifar kesilapan. Kepada mereka yang berkecenderungan memikul tanggungjawab ini perlulah melengkapkan diri dengan ilmu pengacaraan majlis dan memperbanyak latihan. Insya-Allah, dengan rajin belajar daripada orang yang arif dalam bidang ini, tidak mustahil kita akan menjadi seorang pengacara majlis yang berketerampilan. Firman Allah yang bermaksud, "Jika kamu tidak mengetahui sesuatu, tanyailah orang yang tahu". Malu bertanya sesat jalan.





1 comment:

  1. Dah baca..!!!
    mantap sei karangan cikgu!!
    "tunjuk ajarku sifu"

    ReplyDelete