SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN PALONG DUA (FELDA)

VISI
"PENDDIDIKAN BERKUALITI INSAN TERDIDIK NEGARA SEJAHTERA''

MISI
"MELESTARIKAN SISTEM PENDIDIKAN YANG BERKUALITI UNUTK MEMBANGUNKAN POTENSI INDUVIDU BAGI MEMENUHI ASPIRASI NEGARA".

MOTO
BERDISIPLIN MAJU JAYA

SLOGAN
DISIPLIN PERTAMA,
AKADEMIK UTAMA,
KOKURIKULUM BERSAMA.

Sunday, May 30, 2010

MAJLIS ANUGERAH KECEMERLANGAN 2010


MAJLIS ANUGERAH KECEMERLANGAN 2010

Tarikh : 18 April 2010

Masa : 11:00 pagi 

Tempat : Dewan Ibnu Khaldun, SMK Palong Dua (F), Gemas 

Program ini diadakan pada setiap tahun adalah untuk memberi pengiktirafan terhadap pencapaian para pelajar yang telah menunjukkan peningkatan prestasi akademik yang membanggakan dalam peperiksaan dalaman sekolah dan juga dalam peperiksaan awam. Selain itu, para ibu bapa dan guru juga turut diberi pengiktirafan atas sumbangan mereka dalam mengharumkan nama sekolah sama ada di peringkat daerah, negeri, dan juga di peringkat kebangsaan. Matlamat program ini dilaksanakan adalah untuk melahirkan para pelajar yang berjaya secara konsisiten dalam prestasi akademik.

Objektif program ini diadakan adalah seperti yang berikut:

1.
Sebagai galakan kepada para pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik.
2.
Sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kepada para pelajar atas kejayaan yang diperoleh dalam pencapaian akademik.
3.
Melahirkan para pelajar yang mengamalkan budaya kecemerlangan dalam bidang akademik.
 
Teks ucapan penuh Pengetua SMK Palong Dua (F), Gemas, Puan Saadiah binti Saad dalam majlis ini:


Bismillahirrahmanirrahim, Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Selamat Pagi dan Salam 1 Malaysia;

Yang Berusaha Encik Abdul Talib bin Saad, Yang Dipertua PIBG SMK Palong Dua (F), dan barisan Ahli Jawatankuasanya,

Yang dihormati Guru-guru Penolong Kanan,

Barisan Ketua Bidang,

Guru-guru,

Para penerima anugerah,

Para jemputan,

Para ibu bapa dan penjaga, murid-murid yang dikasihi, dan seterusnya para hadirin yang dimuliakan.

1. Hari Anugerah Kecemerlangan merupakan acara tahunan yang tercatat dalam takwim sekolah yang bermatlamat memberikan pengiktirafan kepada murid-murid yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam bidang akademik. Pengiktirafan terhadap kejayaan mereka memberi impak yang bermakna  bagi pembinaan sahsiah khususnya dalam membentuk daya saing yang tinggi dalam diri murid untuk mencipta kejayaan yang lebih hebat dan seterusnya membentuk warganegara yang berkualiti yang bakal menjadi aset kepada kemajuan negara kita.

2. Dalam usaha melahirkan murid yang cemerlang akademik, aspek penjenamaan sekolah juga tidak kami pinggirkan, walaupun segelintir masyarakat berpendapat apa ada pada nama? Sebenarnya, nama itu penting, kerana daripada namalah kita membina identiti atau keperibadian kita. Sehubungan itu, kami warga sekolah ini sedang mengorak langkah untuk memartabatkan sekolah yang tercinta ini memiliki etos atau kebitaraannya yang tersendiri. Etos atau kebitaraan bermaksud perwatakan yang dimiliki oleh sesuatu institusi itu. Hasrat kami dalam bidang akademik misalnya, etos yang kami ingin tampilkan adalah dengan melonjakkan subjek Bahasa Melayu dan Matematik sama ada pada peringkat PMR mahupun SPM sentiasa mencatat kelulusan 100% dan pencapaian GPMP kedua-dua subjek berkenaan secara konsisten berada pada paras 2.00 ke bawah. Seterusnya, dalam bidang koakademik pula, kami menetapkan forum remaja sebagai watak yang sering menempatkan diri dalam rangking yang terbaik bermula pada peringkat daerah sehinggalah ke peringkat kebangsaan. Dari segi penampilan diri, kami mewajibkan setiap murid lelaki di sekolah ini bertali leher dan berkasut hitam. Peraturan ini dikuatkuasakan adalah untuk meningkatkan motivasi diri para pelajar agar sentiasa menampilkan personaliti yang kemas dan penuh disiplin. Penampilan yang kemas akan mempengaruhi sikap para pelajar untuk mengamalkan nilai-nilai positif dalam kehidupan mereka. Mungkin perkara ini menimbulkan pelbagai persoalan dalam minda tuan-tuan dan puan-puan tentang sejauh mana kemampuan sekolah ini untuk mencapai hasrat tersebut, namun kami warga sekolah ini berkeyakinan penuh bahawa hasrat ini tidak mustahil untuk digapai jika kekuatan kemahuan dalam diri warganya mengatasi segala gelombang cabaran yang sedang dihadapi apatah lagi cabaran-cabaran yang berada di luar jangkaan kita. Tanda-tanda kemampuan untuk mencapai cita-cita tersebut mulai kelihatan apabila beberapa kejayaan telah tercipta sejak akhir-akhir ini hasil kerja berpasukan yang menjadi budaya warga sekolah ini. Kami akan menggembleng segenap kekuatan untuk merealisasikan hasrat tersebut. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang bermaksud sesiapa yang  berusaha akan berjaya.

3. Sebenarnya kami tidak beromong kosong dalam mengejar kecemerlangan yang dihasratkan, kerana usaha-usaha awal telah banyak kami jalankan sama ada yang berbentuk fizikal mahupun yang berbentuk pembangunan modal insan. Dalam aspek fizikal misalnya, kami telah mengubah lanskap seluruh kawasan sekolah ini sebagai sekolah dalam taman. Hal ini selari dengan fitrah manusia yang cinta akan keindahan. Suasana yang menghijau dan berwarna-warni, serta disulami susun atur prasarana yang mesra pengguna akan menarik minat murid terhadap sekolah dan secara tidak langsung dapat mempertingkat semangat belajar mereka. Dalam aspek pembangunan modal insan contohnya, setiap hari khususnya dalam perhimpunan pagi dan waktu rehat, aktiviti Laluan Iqra’ dan aktiviti berasaskan kemahiran lisan akan dijalankan, iaitu aktiviti yang meliputi pembentangan laporan keratan akhbar atau keratan majalah dan juga aktiviti lisan lain seperti pidato, pendeklamasian sajak, dan sebagainya akan dijalankan di tapak perhimpunan dan juga di Anjung Ilmu. Aktiviti-aktiviti ini diadakan adalah untuk melatih murid agar berani  bercakap  di hadapan khalayak dan seterusnya membina keyakinan diri mereka, serta mengasah bakat mereka untuk ditampilkan bagi menghadapi apa jua pertandingan yang dianjurkan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia. Kami akan terus berusaha melahirkan seberapa banyak mungkin murid yang menguasai kemahiran berkomunikasi agar mereka tidak menjadi individu yang kaku laksana sifat diam-diam besi berkarat yang jelas tidak membantu dalam pembinaan sahsiah individu yang bermentaliti positif dan bersikap dinamik.  Insya-Allah, di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

Para hadirin yang dihormati,
4. Kemajuan sesuatu bangsa banyak bergantung kepada budaya yang menjadi amalan mereka. Hal ini jelas disebut oleh Pendeta Za’ba melalui karyanya yang bertajuk Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri. Perkara utama yang ingin kami terapkan dalam diri peribadi murid sekolah ini ialah budaya menepati masa. Pujangga ada menyebut bahawa masa umpama mata pedang yang tajam yang akan menikam diri sesorang itu sekiranya mereka  gagal memenuhi tuntutan masa itu sendiri. Sehubungan itu, kami telah menetapkan peraturan bahawa setiap murid sekolah ini  mesti berada di tapak perhimpunan sekolah tepat pada pukul 7:20 pagi setiap hari untuk aktiviti perhimpunan pagi bagi memberi peringatan kepada semua warga sekolah ini agar sentiasa menghayati peri pentingnya menghargai masa dan memenuhi tuntutan masa yang diamanahkan kepada kita. Kami berbuat demikian adalah untuk mengelakkan mereka tiba di sekolah ketika masa hanya berbaki 1 minit  atau 2 minit sahaja lagi untuk sesi pengajaran dan pembelajaran yang kebiasaannya bermula pada pukul 7:40 pagi pada setiap hari. Datang awal ke sekolah merupakan sikap yang terpuji. Banyak perkara yang berfaedah dapat dilakukan sementara menunggu sesi pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Masa yang diperuntuk untuk sesi pengajaran dan pembelajaran benar-benar dapat dimanfaat dan dioptimumkan apabila masa sebelum kelas bermula dapat dipenuhi dengan aktiviti seperti membersihkan kelas, Laluan Iqra’ dan mencatat kedatangan murid oleh para guru. Sejarah banyak membuktikan bagaimana kegagalan sesuatu bangsa memanfaatkan masa, akhirnya bangsa tersebut ditimpa kehinaan dan terpaksa membayar kembali dengan harga yang mahal atas segala kesilapan yang telah mereka lakukan dalam tempoh yang begitu lama, bahkan ada antaranya sehingga kini masih belum mampu bangun dan terus hidup dalam kehinaan. Justeru, para ibu bapa marilah kita bersama-sama memastikan anak-anak kita membudayakan kehidupan menghargai dan menepati masa.

Para hadirin yang dimuliakan,
5. Satu lagi cabaran yang kami sedang berusaha untuk menanganinya ialah gejala ponteng dalam kalangan murid, sama ada ponteng sekolah mahupun ponteng kelas. Gejala ini jika tidak dibendung, impak negatif terhadap kemajuan murid dan juga terhadap sekolah amat dirasai. Segala perancangan sekolah akan gagal dan tidak mencapai target yang disasarkan apabila gejala ini menular dalam skala yang lebih menyeluruh tanpa mengira kelas peperiksaan atau melibatkan gender. Lanjutan daripada permasalahan ini, telah menyebabkan kami mengambil tindakan drastik sejak tiga tahun belakangan ini, pihak pengurusan SMK Palong Dua (F) telah mengambil langkah tidak popular dengan  mengenakan tindakan buang sekolah terhadap murid-murid yang kerap ponteng sekolah dalam jumlah hari yang melayakkkan mereka dikenakan tindakan sedemikian setelah beberapa amaran diberikan kepada mereka. Bagi pihak sekolah,  tindakan sedemikian rupa hanyalah jalan terakhir setelah beberapa prosedur dilakukan yang meliputi pendekatan psikologi dan motivasi, perjumpaan pihak sekolah bersama-sama ibu bapa murid-murid berkenaan, dan mengenakan tindakan rotan. Pada hakikatnya, pihak sekolah tidak pernah sesekali berasa selesa dengan tindakan yang telah diambil lantaran murid-murid yang terlibat dalam kes ini masih muda remaja yang amat memerlukan bimbingan sama ada dari aspek keilmuan dan pembinaan sahsiah sebagai bekal bagi melayari kehidupan pada masa akan datang. Kami tidak pernah berputus asa atas segala ketidakberkesanan usaha-usaha yang telah dijalankan selama ini. Bagi kami, amanah sebagai pendidik akan terus dijunjung bagi memastikan murid-murid sekolah ini memanfaatkan segala peluang pendidikan yang telah disediakan oleh pihak kerajaan tidak dipersia-siakan begitu sahaja. Untuk itu, pada awal tahun 2010 ini, Program Jom Ke Sekolah kami persembahkan khusus kepada murid-murid yang sering ponteng sebagai impresi pertama dan komitmen  kami selaku warga pendidik sekolah ini. Program ini diwujudkan sebagai satu daripada usaha-usaha kami bagi meningkatkan kehadiran murid berisiko tinggi ponteng dari 50 peratus kepada 70 peratus kehadiran ke sekolah. Peningkatan peratus yang kami hasratkan ini merupakan usaha awal pihak sekolah ke arah ponteng sifar. Tidak dapat dinafikan, usaha mendidik manusia ke arah perkara-perkara yang bersifat positif  bukanlah umpama menanam sayur kangkung, hari ini kita campakkan benihnya ke dalam kolam, esoknya pasti akan bertunas tangkai yang baharu. Analogi sedemikian rupa tidak boleh sama sekali kita transformasi terhadap kehidupan manusia. Tidak semudah itu untuk kita mendidik manusia yang terbina daripada kerangka rohani dan jasmani, sebaliknya usaha ini banyak onak durinya yang memerlukan kita bertindak dengan penuh hemah yang bertunjangkan kesabaran yang tinggi, sedangkan Nabi Muhammad SAW yang dikurnia oleh Allah SWT dengan mukjizat yang hebat pun memerlukan 23 tahun untuk melahirkan generasi sahabat yang gilang gemilang. Jadi, peningkatan peratus kehadiran yang menjadi aspirasi sekolah ini merupakan langkah pertama kami bagi mencipta kejayaan. Hal ini selari dengan kata-kata hikmat yang sering diucapkan oleh para pakar motivasi dalam ceramah mereka yang berbunyi, “ Sesungguhnya kejayaan bermula dari langkah yang pertama”. Oleh itu, kami berkeyakinan penuh bahawa langkah pertama itu memang penting, lebih-lebih lagi jika perkara itu dilakukan pada awal tahun. Hal ini sudah tentu boleh menjadi perangsang bagi menjana  usaha-usaha seterusnya. Bersama-samalah kita berdoa agar usaha ini akan membuahkan hasil pada suatu hari kelak  dan kita diberi kekuatan untuk terus beristiqamah untuk terus mempergiat usaha murni ini.

Para hadirin yang dihormati,
6. Pembangunan modal insan yang kami uar-uarkan tidaklah berfokus kepada murid-murid sahaja, malah kami juga memberi penekanan terhadap peningkatan keterampilan dan  kemahiran guru dan staf sokongan. Hal ini penting kerana segala pembangunan fizikal dan pembekalan peralatan yang canggih sama ada yang diusahakan oleh pihak sekolah atau yang diperuntukkan oleh pihak kerajaan akan menjadi sia-sia oleh sebab tidak dapat dimanfaatkan akibat ketandusan ilmu dan kurangnya daya usaha, serta tiadanya pendedahan terhadap perkembangan terkini dalam dunia pengurusan dan inovasi dalam bidang pengajaran dan pembelajaran, serta tugas hakiki kumpulan staf sokongan. Oleh itu, kami secara konsisten mengadakan sesi profesional setiap bulan bagi memastikan guru-guru dan staf sokongan sentiasa malar segar  mendapat input-input baharu  untuk meningkatkan kualiti kerja bagi memastikan institusi yang dijunjung akan terus kompetitif dalam mencipta kejayaan walaupun kini kita dibelenggui suasana suram dalam iklim ekonomi global. Kemelut ini jangan kita jadikan alasan untuk kita berpeluk tubuh daripada berusaha membina kemajuan kerjaya dan personaliti. Usaha yang baik perlu diteruskan dalam ruang dan masa yang berada dalam lingkungan kemampuan kita. Sesi profesional yang diadakan tidak tertumpu dalam aspek kerjaya semata-mata, malah diadunkan bersama-samanya input-input yang berbentuk spiritual seperti  bacaan al-Quran dan kemahiran tajwid, serta tazkirah untuk muhasabah diri bagi melahirkan warga kerja yang seimbang dalam aspek rohani dan jasmani, serta yang berbentuk darmawisata, iaitu lawatan sambil belajar atau istilah kontemporarinya lawatan penandaarasan atau benchmnarking. Dalam aspek keterampilan diri pula, pada setiap hari Rabu berdasarkan jadual yang telah ditetapkan, setiap guru dikehendaki berucap dalam bahasa Inggeris bagi melatih mereka memantapkan penguasaan bahasa tersebut. Guru juga terlibat dalam aktiviti bacaan iaitu NILAM Guru yang bertujuan bagi menambahkan pengetahuan mereka agar lahir warga guru yang berinformasi dan tidak hanya menjurus kepada major utama mereka semasa menuntut di universiti. Bagi memperkukuh pengetahuan guru, setiap guru dikehendaki menulis ulasan buku dan membentangkannya dalam Perhimpunan Rasmi Hari Isnin mengikut giliran yang telah ditetapkan.  Harapan kami, aktiviti seumpama ini akan memperkasa sekolah ini kerana ditunjangi oleh guru dan staf yang kaya maklumat dan berfikiran glokal.

Para hadirin yang dihormati,
7. Guru-guru di sekolah ini sentiasa berlebihan tenaga fizikal dan mindanya. Jika tuan-tuan dan puan-puan datang ke sekolah ini pada hujung minggu, semasa cuti umum atau ketika cuti penggal persekolahan, tuan-tuan dan puan-puan akan mendapati sekolah ini sentiasa hidup seolah-seolah enjin yang sentiasa bergerak pistonnya. Pada masa tersebut, guru-guru sekolah tanpa rasa jemu atau bosan tetap meneruskan komitmen mereka dengan mengadakan kelas tambahan dan juga bengkel mata pelajaran peperiksaan. Alhamdulillah, usaha kami ini telah mendapat kerjasama yang amat erat daripada pihak pengurusan FELDA  Palong Dua dan FELDA Palong Tiga, khususnya dalam  memastikan murid-murid terus memanfaatkan Program Skim Tuisyen Felda untuk menjana kejayaan dalam peperiksaan PMR dan SPM. Selain pihak FELDA, pihak PIBG juga turut menyumbang sumber kewangan untuk membiayai Program Tuisyen PIBG bagi subjek-subjek kemanusiaan yang dipelajari oleh murid-murid yang akan menduduki peperiksaan PMR dan SPM, malah persatuan ini turut bermurah hati membiayai program jangka panjang iaitu Projek Tunas Bestari yang merupakan aktiviti kelas tambahan untuk murid-murid tingkatan satu, tingkatan dua, dan tingkatan empat. Kejayaan akademik semata-mata tidak mencukupi sekiranya aspek kemanusiaan diabaikan. Berdasarkan pendekatan menyeluruh yang kami guna pakai, kami tidak sesekali mengabaikan aspek SQ dan EQ, iaitu pembangunan spiritual dan emosi. Bagi memastikan tiada berlaku ketempangan modal insan yang dilahirkan, kami secara istiqamah membudayakan murid sekolah ini menasyidkan asma ul-husna pada setiap perhimpunan pagi. Di samping itu, kami bersama-sama murid sentiasa mengekalkan aktiviti  bacaan surah Yasin pada setiap pagi Jumaat, serta  solat zuhur secara berjemaah pada setiap hari bagi memastikan jiwa dan emosi murid-murid sentiasa dibasahi kalimah suci agar generasi murid sekolah ini tidak hanyut akibat tsunami keruntuhan akhlak yang melanda kehidupan remaja pada masa kini. Bagi membangunkan modal insan yang hebat, kami juga menjemput penceramah motivasi bagi memberi nilai tambah kepada murid-murid agar sentiasa bermotivasi tinggi dalam usaha mencipta kejayaan dalam akademik dan  membantu mereka dalam menentukan hala tuju hidup apabila memasuki alam pekerjaan kelak. Jelasnya di sini, kami tidak pernah alpa dalam usaha mewujudkan prasyarat untuk melahirkan generasi yang terbilang. Kami sesekali tidak akan berundur untuk mencapai cita-cita murni ini.

Hadirin sekalian,
8. Pendekatan yang disebutkan sebentar tadi merupakan daya kreativiti dan inovasi daripada pihak kami, namun begitu kami tidak pernah mengabaikan program yang diarahkan oleh pihak kerajaan untuk melahirkan insan yang seimbang dengan memperkasa kegiatan kokurikulum bagi menjadi pelengkap terhadap kejayaan murid-murid. Saban tahun sekolah ini mengadakan Karnival Kokurikulum untuk memberi peluang secara total kepada semua murid tanpa sebarang pengecualian untuk menyertai acara yang dipertandingkan. Hal ini penting kerana kegiatan kokurikulum berkait rapat dengan pembangunan modal insan, khususnya dalam pembentukan keyakinan diri, patriotisme, intergrasi antara kaum, dan pembinaan nilai-nilai murni. Di samping memperkasa kegiatan kokurikulum, Unit Hal Ehwal Murid dengan kerjasama Unit Bimbingan dan Kaunseling sekolah ini telah melancarkan Program Mawarku pada awal bulan April tahun ini, yang kumpulan sasarannya terdiri daripada semua murid perempuan sekolah ini. Program ini dijalankan pada setiap hari Jumaat ketika murid-murid lelaki menunaikan solat Jumaat. Pengisian program ini antaranya ialah ceramah, tayangan gambar, LDK, dan bengkel. Matlamat program ini diwujudkan adalah untuk mempertingkat kesedaran murid-murid perempuan tentang kepentingan mematuhi peraturan sekolah, peningkatan sahsiah diri, dan bahaya serta risiko terlibat dalam aktiviti-aktiviti tidak sihat yang melanggari batas-batas agama atau moral. Hal ini selari dengan fenomena yang sering dilaporkan dalam media cetak dan juga dalam media elektronik seperti fenomena pembuangan bayi, bersekedudukan tanpa ikatan perkahwinan, sumbang mahram, penagihan dadah, pergaulan bebas, dan gejala-gejala negatif yang lain yang jelas tidak menyumbang terhadap pembangunan modal insan dan tidak mustahil bakal menjerumuskan institusi keluarga ke arah kehancuran. Jadi, kami amat mengharapkan kerjasama para ibu bapa dan masyarakat setempat untuk bersama-sama berganding bahu bagi membina kualiti generasi muda yang mampu memenuhi amanah yang dipertanggungjawab oleh Allah SWT.

9. Dalam kesempatan ini, saya mengambil peluang memberitahu tuan-tuan dan puan-puan tentang ringkasan keputusan peperiksaan PMR 2009 sekolah ini. Pada tahun lepas, beberapa subjek telah mencatatkan kelulusan 100% dan peningkatan GPMP berbanding dengan pencapaian pada tahun 2008, antara subjek tersebut ialah Bahasa Melayu (2.67 ke 2.08) , Pendidikan Islam (2.65 ke 2.33), Sains (3.30 ke 3.11) dan KHB (Pertanian) (2.88 ke 2.26). Manakala subjek yang tidak memperoleh kelulusan 100% tetapi mencatat peningkatan peratus kelulusan dan peningkatan GPMP. ialah Sejarah ( %: 92.06 ke 95.31, GPMP: 3.29 ke 3.09), Geografi (%: 90.63 ke 96.88, GPMP: 3.38 ke 3.08), dan Matematik (%: 85.71 ke 93.75, GPMP: 3.51 ke 3.22).  Bagi Pencapaian keputusan SPM 2009 berbanding dengan pencapaian pada tahun 2008, beberapa kejayaan juga telah tercipta apabila  dua subjek telah mencatatkan kelulusan 100 % . Subjek-subjek tersebut ialah Biology (tiada peningkatan GPMP), Pendidikan Seni Visual (tiada peningkatan GPMP),  dan MPV Pemprosesan Makanan (peningkatan GPMP daripada 5.22 ke 3.76). Manakala, subjek-subjek yang telah mencatatkan peningkatan peratus kelulusan dan  GPMP ialah Bahasa Melayu (%: 97.5 ke 98.5, GPMP: 4.92 ke 3.55), Bahasa Inggeris (%: 67.1 ke 83.3, GPMP: 7.30 ke 7.29),  Pendidikan Islam (%: 83.3 ke 93.9, GPMP: 5.15 ke 4.12), Sejarah (%: 79.7 ke 87.9, GPMP: 6.10 ke 5.76), Matematik (%: 65.8 ke 77.3, GPMP: 6.03 ke 5.94), dan Perdagangan (%: 90.5 ke 94.1, GPMP: 7.81 ke 7.24). Terdapat juga subjek-subjek yang mengalami penurunan peratus kelulusan tetapi mencatat peningkatan GPMP. Subjek-subjek berkenaan ialah Sains (%: 95.9 menurun ke 94.1, GPMP: 6.33 ke 6.03) dan Tasawwur Islam (%: 83.3 menurun ke 81.1, GPMP: 6.40 ke 5.68). Tuan-tuan dan puan-puan, peribahasa ada menyatakan bahawa yang bulat takkan datang bergolek dan yang pipih takkan datang melayang. Sesungguhnya, kejayaan yang tercipta ini merupakan hasil gabungan komitmen guru, kegigihan murid, keprihatinan golongan ibu bapa, dan kepekaan pihak pengurusan FELDA terhadap nasib anak-anak FELDA. Kesepakatan ini perlu diteruskan dan tidak bermusim kerana sekolah merupakan institusi masyarakat. Kejayaan anak-anak didik kita merupakan penentu jatuh bangun bangsa kita yang serba kekurangan dan masih lagi mengharapkan tongkat untuk menyeberang titian genting untuk menikmati kejayaan yang berada di seberang sungai. Oleh hal yang demikian, kita tidak boleh bertindak berseorangan dalam mengejar kemajuan, sebaliknya kita perlu bermuafakat dalam menangani segala kemelut yang kita hadapi kerana muafakat membawa berkat. Bekerja atau berusaha secara bersendirian hanya mengundang segala kepayahan dan akhirnya kita hanya mendapat letih semata-mata.

Para hadirin yang dihormati,
10. Tidak sempurna sekiranya dasar Kementerian Pelajaran Malaysia tidak disentuh dalam majlis yang mulia ini, dalam kesempatan ini saya ingin menyampaikan ikhtisar hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia yang telah dipertanggungjawab untuk melaksanakan empat komponen kecil NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) pendidikan iaitu: pertama, meningkatkan kadar penyertaan murid prasekolah sebanyak 20% pada akhir tahun 2012; kedua, memastikan semua murid normal boleh menguasai asas kemahiran literasi dan numerasi selepas tiga tahun mengikuti pendidikan rendah; ketiga, mewujudkan sekolah berprestasi tinggi; dan keempat, memperkenalkan New Deal atau Bai’ah Baru kepada pemimpin sekolah dengan hasrat untuk meningkatkan profesionalisme pengurusan dan kecemerlangan sekolah. Bagi menggapai hasrat yang dinyatakan sebentar tadi, semua warga pendidik  dituntut mengamalkan budaya kerja cemerlang, sikap kebertanggungjawaban, dan semangat mujahadah setiap daripada kita untuk melakukan yang terbaik demi nusa dan bangsa. Justeru, tugas besar yang tergalas di bahu para warga pendidik untuk menjayakan transformasi dan pembaharuan pendidikan dengan satu hasrat dan satu tekad bagi meningkatkan mutu pendidikan negara merupakan satu amanah besar yang memerlukan iltizam yang bersungguh-sungguh daripada seluruh warga pendidik. Hal ini selaras dengan pelaksanaan dasar-dasar baharu kerajaan seiring dengan perkembangan terkini dalam dunia pendidikan hari ini. Untuk itu, seluruh warga pendidik perlu saling membantu dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mulia ini, dengan hasrat untuk menghasilkan kejayaan secara kolektif. Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.. Sesungguhnya, sokongan dan kerjasama seluruh warga pendidik dalam menjayakan wawasan dan gagasan kerajaan untuk meningkatkan kecemerlangan dan mutu pendidikan negara hendaklah diperkasa sepanjang masa . Marilah kita bersama-sama memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT agar sentiasa diberikan kekuatan untuk menjunjung amanah perjuangan memartabatkan pendidikan negara. 

Para hadirin yang dirahmati Allah SWT,
11. Harapan kami, apa-apa yang diperkatakan sebentar tadi akan menjadi petunjuk sepanjang jalan untuk kita berganding bahu dalam usaha mencipta kejayaan secara kolaboratif agar suasana tuding menuding jari menyalahkan antara satu pihak dengan pihak yang lain dapat dihindari, kerana tindakan sedemikian rupa tidak menguntung mana-mana pihak sebaliknya lebih menjurus kepada menang jadi arang kalah jadi abu. Mudah-mudahan majlis yang diadakan pada hari ini menjadi titik permulaan untuk kita mengorak langkah demi kejayaan dunia dan akhirat. Sekian, wassalamualaikum warahmatullah hiwabaraktuh. Terima kasih.  

Gambar-gambar sekitar Majlis Anugerah 2010. 










TAHNIAH DIUCAPKAN KEPADA PARA PENERIMA ANUGERAH.

No comments:

Post a Comment