SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN PALONG DUA (FELDA)

VISI
"PENDDIDIKAN BERKUALITI INSAN TERDIDIK NEGARA SEJAHTERA''

MISI
"MELESTARIKAN SISTEM PENDIDIKAN YANG BERKUALITI UNUTK MEMBANGUNKAN POTENSI INDUVIDU BAGI MEMENUHI ASPIRASI NEGARA".

MOTO
BERDISIPLIN MAJU JAYA

SLOGAN
DISIPLIN PERTAMA,
AKADEMIK UTAMA,
KOKURIKULUM BERSAMA.

Saturday, July 3, 2010

MINGGU SAINS DAN MATEMATIK

Minggu Sains dan Matematik SMK Palong Dua (F), Gemas 2010

Pada 10 Mei 2010, Puan Saadiah binti Saad, Pengetua sekolah ini telah menyempurnakan pelancaran Minggu Sains dan Matematik  2010 di Dataran Ilmu. Program ini merupakan anjuran bersama-sama Panitia Sains dan Panitia Matematik dan dijalankan selama seminggu mulai 10 Mei hingga 14 Mei 2010, bermula jam 8.00 pagi hingga jam 5.00 petang. Majlis perlancaran yang diadakan berjaya menarik minat para pelajar kerana dijalankan secara pendekatan pengaplikasian pengetahuan dalam sains dan matematik, dan tidak berbentuk klise sebagaimana yang diperlihat dan terbayang dalam minda audien selama ini. Hal ini selaras dengan aspirasi kepemimpinan negara yang menggalakkan budaya inovasi dalam kalangan rakyat di negara ini.

Matlamat program ini adalah untuk membentuk modal insan yang berteraskan sains dan matematik. Lima objektif digarisi bagi mencapai hasrat program ini, iaitu:
  1. Menanam minat para pelajar terhadap subjek Sains dan Matematik
  2. Memupuk kesedaran tentang kepentingan disiplin Sains dan Matematik dalam kehidupan seharian. 
  3. Melahirkan pelajar yang berfikiran kreatif dalam disiplin Sains dan Matematik.
  4. Mendedahkan pelajar kepada pembelajaran Sains dan Matematik secara penemuan dan eksperimen.
Minggu Sains dan Matematik juga memberi peluang kepada para pelajar mempelajari Sains dan Matematik secara kontekstual, di samping menjalani aktiviti Minggu Sains dan Matematik yang bersifat santai dan menyeronokkan. Antara aktiviti yang dijalankan adalah seperti yang berikut:
  1. Pertandingan Sudoku 
  2. Pertandingan Susun Nombor Kategori Menengah Atas
  3. Pertandingan Susun Nombor Menengah Rendah
  4. Pertandingan Lidi Beracun Kategori Menengah Atas
  5. Pertandingan Lidi Beracun Kategori Menengah Rendah
  6. Pertandingan Rubik Cube
  7. Pertandingan Parachute
  8. Pertandingan Roket Kategori Menengah Atas
  9. Pertandingan Roket Kategori Menengah Rendah
  10. Kuiz Info Sains dan Matematik
  11. Pameran Sains dan Matematik
Lokasi bagi perjalanan aktiviti-aktiviti yang dirangka dalam program ini dijalankan di padang sekolah, Makmal Sains PMR, dan Makmal Biologi.

Bagi memastikan penyertaan secara menyeluruh, slot ”Magic of Science” (eksperimen mudah) juga diadakan bagi memberi peluang kepada para pelajar melakukan eksperimen yang mudah bagi menimbulkan minat dan kesedaran dalam kalangan pelajar tentang kepentingan subjek Sains dalam kehidupan. Melalui slot ini, para pelajar berpeluang menonjolkan bakat dan kreativiti mereka dalam pertandingan roket dan parachute. Pihak sekolah ini juga membuka pameran yang diadakan kepada murid-murid SK Palong Dua (F). Pameran yang diadakan mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

Beberapa kelemahan telah dikenal pasti semasa program ini dijalankan, yakni terdapat sebilangan kecil pelajar tidak melibatkan diri dalam aktiviti Minggu Sains dan Matematik. Kekurangan juga dapat dikesan dari segi bahan pameran dan kekangan tenaga  kerja sehingga menyebabkan pameran hanya dapat dibuka pada hari Selasa dan Khamis sahaja. Selain itu, penyertaan para pelajar dalam Kuiz Info Sains dan Matematik tidak menggalakkan kerana hanya mendapat tiga penyertaan sahaja. Namun, segala kelemahan dan kekurangan tidak sesekali melemahkan moral dan minda guru-guru Sains dan Matematik sekolah ini, malah mereka berjanji akan melakukan penambahbaikan pada sesi yang akan datang dengan melakukan perancangan yang lebih teliti dan terperinci, serta memperbanyak aktiviti yang lebih menarik dan bercorak inovasi.

Tuntasnya, secara keseluruhan bahawa Program Minggu Sains dan Matematik yang telah diadakan berjalan dengan lancar dan memberangsangkan. Hampir semua pelajar sekolah ini mengambil bahagian dalam pertandingan yang dianjurkan. Para pelajar sentiasa memberikan kerjasama semasa melawat ke Pameran Sains dan Matematik serta mengambil bahagian secara aktif dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan semasa pameran. Harapan pihak Panitia Sains dan Panitia Matematik, program seumpama ini akan berkesinambungan secara konsisten dan diperkasa dari semasa ke semasa. 


TENAGA PELAKSANA
 
TAHNIAH BUAT CIKGU AMENUDIN, CIKGU ROHANA, CIKGU ATIKAH, CIKGU ARIFAH, CIKGU NUR SHALENA, CIKGU FARRAH DIBBA, CIKGU MASITAH, CIKGU NURUL SHAHIDA, DAN TIDAK LUPA JUGA CIKGU AIMI SARAH (sehingga 31 Mei 2010) KERANA BERJAYA MEMULAKAN SESUATU YANG DIANGGAP DI LUAR KEMAMPUAN SELAMA INI.

Gambar-gambar Sepanjang Aktiviti  Minggu Sains dan Matematik 2010





 










Wednesday, June 16, 2010

MAJLIS SAMBUTAN HARI GURU DAN HARI PEKERJA SMKPD 2010


MAJLIS SAMBUTAN 
HARI GURU DAN HARI PEKERJA 2010
PERINGKAT SMK PALONG DUA (F), GEMAS

Pada 21 Mei 2010, sekolah ini sekali lagi berjaya mengadakan sambutan Hari Guru dan Hari  Pekerja buat  tahun yang ketiga. Majlis ini disambut secara bersama-sama sebagai menghargai jasa dan pengorbanan para guru, staf sokongan, dan pekerja swasta SMK Palong Dua (F), Gemas. Selain itu, matlamat majlis ini juga adalah untuk mewujudkan permuafakatan antara pelajar, guru, staf sokongan, dan pekerja swasta. Manakala objektifnya pula,  sebagai meraikan Hari Guru dan Hari Pekerja demi mempererat hubungan silaturrahim dalam kalangan pelajar, guru, staf sokongan, dan pekerja swasta di sekolah ini.

Hari Guru dan Hari Pekerja sebenarnya mengingatkan kita betapa besarnya sumbangan para guru dan pekerja terhadap pembangunan negara. Guru dan pekerja adalah tonggak kemajuan, kemakmuran, dan keharmonian sesebuah negara. Tanpa guru dan pekerja, terutamanya mereka yang dedikasi dan produktif, tidak mungkin kita akan mencapai kemajuan dan kemakmuran seperti yang dinikmati sekarang ini.  Justeru, kita harus melihat sambutan Hari Guru dan Hari Pekerja ini sebagai wadah bagi menghargai sumbangan seluruh warga guru dan pekerja dalam memacu pembangunan negara ke arah kemajuan dan kemakmuran.

Dengan bertemakan sambutan pada tahun ini, iaitu “Guru Pembina Negara Bangsa” dan “Pekerja Berinovasi Pemacu Transformasi”, kita seharusnya menyedari akan pentingnya peranan para guru dan para pekerja dalam menjayakan sesuatu dasar pembangunan kerajaan.  Apatah lagi ketika ini kerajaan sedang dalam rangka kerja pelaksanaan Model Ekonomi Baru (MEB) yang menekankan aspek-aspek inovasi dan kreativiti untuk menjana transformasi ke arah mencapai taraf ekonomi berpendapatan tinggi.

Aspirasi ini hanya boleh dicapai menerusi peningkatan produktiviti dalam kalangan guru dan pekerja yang sekali gus akan menjana modal insan yang berkualiti dan pertumbuhan ekonomi yang lebih mapan. Oleh sebab inilah, YAB Perdana Menteri kita benar-benar ingin melihat para guru dan para pekerja di negara ini melakukan lebih banyak usaha inovasi dalam pelbagai bidang supaya dapat melahirkan generasi yang berketerampilan dalam pelbagai aspek dan para pekerja yang mampu menggerakkan ekonomi negara secara lebih produktif.

MAKLUMAT SAMBUTAN

JAWATANKUASA INDUK

PENASIHAT
Puan Saadiah binti Saad
Pengetua
 
PENGERUSI 
Cik Hazlina binti Rani
Guru Penolong Kanan

NAIB PENGERUSI I
Puan Latipah binti Mansor
Guru Penolong Kanan HEM

NAIB PENGERUSI II
YM Tengku Riduan bin Raja Yunus
Guru Penolong Kanan Kokurikulum

PENYELARAS
Encik Junaidi bin Yahya
Pengerusi Kelab Guru dan Staf

SETIAUSAHA
Cik Suhailiza binti Sulaiman

BENDAHARI
Cik Aimi Sarah binti Che Azmi

AHLI-AHLI JAWATANKUASA
Semua AJK Kelab Guru dan Staf, serta semua Ahli Jawatankuasa Badan Ketua Pelajar Sekolah


ATUR CARA MAJLIS SAMBUTAN HARI GURU DAN PEKERJA

MASA
ATUR CARA
7:25 pagi
Perarakan guru dan pekerja


7:30 pagi
Bacaan Surah Yasin


8:10 pagi
Bacaan Doa


8:20 pagi
*Ucapan Wakil Pelajar, Staf Sokongan, dan Guru

*Ucapan Pengetua

*Bacaan Perutusan

*Ikrar Guru dan Nyanyian Lagu Guru Malaysia dan Lagu Guru Pembina Negara Bangsa

*Penyampaian Hadiah

*Pemotongan Pulut Kuning

*Sesi Fotografi


9:15 pagi
Aktiviti Sukaneka


10:35 pagi
Rehat


10:45 pagi
*Persembahan Pelajar, Cabutan Bertuah

*Persembahan Guru

*Penyampaian Hadiah dan Anugerah Guru

*Nyanyian Lagu Sekolah


12:00 tengah hari
*Jamuan


Gambar-gambar sekitar sambutan Hari Guru dan Pekerja




























































































































Tuesday, June 15, 2010

CERAMAH " 1 MALAYSIA, RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN".


Pada 14 Mei 2010, jam 8.45 pagi, Encik Mohd Kassim bin Maarof, Pegawai Penerangan dari Pejabat Penerangan Daerah Jempol telah menyampaikan ceramah " 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" bertempat di Dataran Ilmu, SMK Palong Dua (F). Antara inti sari ceramah beliau adalah seperti yang berikut:
  • Gagasan ini diperkenalkan oleh YAB Dato' Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak sebaik sahaja dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-6.
  • Gagasan ini selari dengan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara.
  • Gagasan ini bertujuan memperkukuh perpaduan kaum dan membudayakan sikap saling menghormati antara pelbagai kaum.
  • Gagasan ini bermatlamat membina negara yang kuat dan rakyat yang bersatu padu.
  • Gagasan ini bermaksud " Kita berdiri, kita berfikir sebagai bangsa Malaysia yang melepasi tembok etnik".
  • Gagasan ini tidak sesekali mengetepikan dasar afirmatif, iaitu dasar untuk menolong kaum Bumiputera.
  • Gagasan ini tidak sama dengan konsep 1 Israel.
  • Gagasan ini hasil cetusan idea  YAB Dato' Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak dan kumpulan pemikirnya.
  • Gagasan ini tidak sama dengan konsep Malaysian Malaysia.
  • 8 nilai murni yang hendak diterapkan melalui gagasan ini, iaitu Budaya Kecemerlangan, Ketabahan, Rendah Hati, Penerimaan, Kesetiaan, Meritokrasi, Pendidikan, dan Integriti

Sunday, May 30, 2010

BENGKEL JATI DIRI

Bengkel Jati Diri

Hidup tanpa matlamat persis kapal yang belayar tanpa haluan. Secara analoginya, begitulah perihal keadaan murid yang hadir ke sekolah tanpa sebarang matlamat yang jelas, yang akhirnya menjerumuskan diri mereka dalam situasi di awang-awangan sehingga menyebabkan diri mereka gagal memikul tanggungjawab sebagai murid yang berkewajipan mencipta kecemerlangan akademik dan membina sahsiah mulia demi memenuhi hasrat institusi pendidikan yang dijunjung dan yang lebih penting memenuhi impian ibu dan ayah. Bagi menghindari sindrom "hadir ke sekolah tanpa matlamat", maka pada 24 April 2010 baru-baru ini, Unit Bimbingan dan Kaunseling sekolah telah mengambil inisiatif menganjurkan Bengkel Jati Diri bagi membuka minda para pelajar tentang peri pentingnya penentuan matlamat diri dalam usaha membina kejayaan dalam kehidupan. Sasaran bengkel ini ialah semua pelajar tingkatan empat. Bengkel ini dikendalikan oleh Puan Nik Nuraini binti Husain, Kaunselor SMK Palong Dua (F). 













Puan Nik Nuraini bt. Husain

Antara topik yang dibincangkan dalam bengkel ini ialah,

1.
Memberi kefahaman kepada pelajar tentang bagaimana menetapkan matlamat diri dan tanggungjawab sebagai pelajar.
2.
Memupuk sikap positif dalam kalangan pelajar.
3.
Pendedahan tentang cara-cara membina keyakinan diri.

LAWATAN PENANDAARASAN KE SMK PERIMBUN


Lawatan Penandaarasan ke SMK Perimbun

Pada 19 April 2010 yang lalu, warga kerja sekolah ini yang meliputi staf akademik, staf sokongan, dan pekerja swasta telah mengikuti lawatan penandaarasan ke SMK Perimbun, Cheras, Selangor Darul Ehsan. Pemilihan sekolah ini dalam kalendar perancangan perkembangan staf dalam sesi 2010 berdasarkan pencapaian cemerlang SMK Perimbun dalam aspek pengurusan kurikulum dan kokurikulum sejak tiga tahun belakangan ini. Pelbagai input yang kami peroleh semasa mengikuti lawatan ke sekolah tersebut. Idea-idea yang kami peroleh akan diguna pakai dengan sedikit penyesuaian berasaskan lokasi dan sosio-budaya setempat. Sepanjang lawatan kami di sekolah ini, kami diberi layanan istimewa sehingga tidak wujud dalam sanubari kami rasa ketidakselesaan atau menimbulkan sedikit perasaan gangguan terhadap warga sekolah berkenaan. Suasana percambahan idea sering berlaku antara warga SMKPD dengan warga SMK Perimbun. SMK Perimbun merupakan sekolah yang ke-4 yang telah dilawati oleh warga kerja SMK Palong Dua (F) sejak program lawatan penandaarasan mula diperkenalkan pada tahun 2007 oleh Mantan Pengetua SMKPD, Encik Awalludin bin Mat Din. Mudah-mudahan gabungan idea daripada pengalaman empat tahun warga kerja sekolah ini terlibat dalam lawatan penandaarasan ke sekolah-sekolah yang berlatarbelakangkan etos yang tertentu dan memiliki kekuatan yang tersendiri, insya-Allah, sekolah ini akan dapat melonjakkan prestasinya pada tahap SEKOLAH BERPRESTASI TINGGI. Yang bulat tidak akan datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang.

Gambar-gambar sepanjang lawatan kami ke SMK Perimbun.


MAJLIS ANUGERAH KECEMERLANGAN 2010


MAJLIS ANUGERAH KECEMERLANGAN 2010

Tarikh : 18 April 2010

Masa : 11:00 pagi 

Tempat : Dewan Ibnu Khaldun, SMK Palong Dua (F), Gemas 

Program ini diadakan pada setiap tahun adalah untuk memberi pengiktirafan terhadap pencapaian para pelajar yang telah menunjukkan peningkatan prestasi akademik yang membanggakan dalam peperiksaan dalaman sekolah dan juga dalam peperiksaan awam. Selain itu, para ibu bapa dan guru juga turut diberi pengiktirafan atas sumbangan mereka dalam mengharumkan nama sekolah sama ada di peringkat daerah, negeri, dan juga di peringkat kebangsaan. Matlamat program ini dilaksanakan adalah untuk melahirkan para pelajar yang berjaya secara konsisiten dalam prestasi akademik.

Objektif program ini diadakan adalah seperti yang berikut:

1.
Sebagai galakan kepada para pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik.
2.
Sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kepada para pelajar atas kejayaan yang diperoleh dalam pencapaian akademik.
3.
Melahirkan para pelajar yang mengamalkan budaya kecemerlangan dalam bidang akademik.
 
Teks ucapan penuh Pengetua SMK Palong Dua (F), Gemas, Puan Saadiah binti Saad dalam majlis ini:


Bismillahirrahmanirrahim, Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Selamat Pagi dan Salam 1 Malaysia;

Yang Berusaha Encik Abdul Talib bin Saad, Yang Dipertua PIBG SMK Palong Dua (F), dan barisan Ahli Jawatankuasanya,

Yang dihormati Guru-guru Penolong Kanan,

Barisan Ketua Bidang,

Guru-guru,

Para penerima anugerah,

Para jemputan,

Para ibu bapa dan penjaga, murid-murid yang dikasihi, dan seterusnya para hadirin yang dimuliakan.

1. Hari Anugerah Kecemerlangan merupakan acara tahunan yang tercatat dalam takwim sekolah yang bermatlamat memberikan pengiktirafan kepada murid-murid yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam bidang akademik. Pengiktirafan terhadap kejayaan mereka memberi impak yang bermakna  bagi pembinaan sahsiah khususnya dalam membentuk daya saing yang tinggi dalam diri murid untuk mencipta kejayaan yang lebih hebat dan seterusnya membentuk warganegara yang berkualiti yang bakal menjadi aset kepada kemajuan negara kita.

Saturday, May 29, 2010

Mesyuarat Agung PIBG SMK Palong Dua (F), Gemas Kali Ke-27


MESYUARAT AGUNG PIBG KALI KE-27

SMK PALONG DUA (F), GEMAS

Tarikh: 18 April 2010
Hari: Ahad
Masa: 9:00 pagi 
Tempat: Dewan Ibnu Khaldun, SMK Palong Dua (F), Gemas

Program ini telah dirancang oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Palong Dua (F), Gemas dengan hasrat untuk mempertemukan para guru dengan para ibu bapa/penjaga untuk bersama-sama berbincang dan menjana idea bagi memantapkan lagi kualiti pencapaian sekolah ini dalam segala bidang yang diceburi. Selain itu, program ini juga bermatlamat untuk mewujudkan pemuafakatan yang mantap antara para ibu bapa/penjaga dengan para guru dalam usaha melahirkan para pelajar yang cemerlang  akademik dan berakhlak mulia. 

Keputusan Pemilihan Jawatankuasa PIBG bagi Sesi 2010/2011 adalah seperti yang berikut:


Yang Dipertua          
:
Encik Abdul Talib bin Saad
Naib Yang Dipertua
:
Encik Zahari bin Shariman
 
AJK Ibu dan Bapa

1. Encik Mohtar bin Mohd Jim
2. Encik Zakaria bin Baharom
3. Puan Noriah binti Arshad
4. Encik Adnan bin Haji Sarip
5. Encik Subari bin Bahudin
6. Haji Azizor bin Sanidin
 

Catatan: Jawatan Setiausaha, Penolong Setiausaha, Bendahari, AJK Guru, dan Pemeriksa Kira-kira akan dilantik oleh Pengetua.