Pada 23 Mac 2010, SMK Palong Dua (F) telah diberi kepercayaan oleh pihak pengurusan PPD Jempol dan Jelebu untuk mengelolakan Pertandingan Forum Remaja Peringkat Daerah Jempol 2010. Pertandingan ini bermula pada jam 10:30 pagi. 11 buah sekolah telah mengambil bahagian dalam pertandingan pada kali ini. Sekolah-sekolah yang menyertai pertandingan ini dibahagikan kepada dua kumpulan melalui pengundian. Kumpulan A terdiri daripada enam buah sekolah, manakala Kumpulan B pula lima buah sekolah. Dua buah sekolah daripada setiap kumpulan yang memperoleh yang tertinggi secara automatik layak memasuki pusingan akhir. Empat buah sekolah yang telah berjaya melayakkan diri ke peringkat pusingan akhir ialah SMK Seri Jempol, SBPI Jempol, SMK Bandar Baru Serting, dan SMK Palong Dua (F).
Dalam pertandingan ini, pasukan forum sekolah ini diwakili oleh Hairatul Madihah binti Mohamad, selaku Pengerusi Forum, ahli-ahli panelnya pula terdiri daripada Norshaherah binti Mohd Idris, Nurul Atiqah binti Zainoddin, Nor Shamsinar binti Abd Manaf, dan ahli panel simpanan ialah Rosmalina binti Ruslan. Tajuk forum yang menjadi topik perbincangan mereka ialah "Jimat Cermat Membawa Berkat". Kesemua ahli panel ini merupakan pelajar tingkatan empat.
Majlis penutupan pertandingan ini telah disempurnakan oleh Cik Hazlina binti Rani, Guru Penolong Kanan Akademik SMK Palong Dua (F) yang mewakili Puan Saadiah binti Saad, Pengetua sekolah ini yang merangkap sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Pertandingan Forum Remaja Peringkat Daerah Jempol 2010. Teks ucapan Pengetua telah dibacakan oleh Cik Hazlina binti Rani. Dalam teks ucapan, Pengetua menyatakan,"Melalui aktiviti berforum, para pelajar akan dapat berlatih menggunakan perkataan yang tepat dan bermakna dengan struktur ayat yang gramatis. Nada dan tekanan suara memainkan peranan penting dalam menentukan keberkesanan aktiviti berforum. Nada dan tekanan yang berbeza akan membantu pendengar mengesan isi atau fakta yang penting atau sebaliknya. Oleh hal yang demikian, aktiviti berforum akan menjadi asas untuk melatih murid menggunakan gaya bahasa mengikut situasi".
Menurut Tuan Pengetua lagi, "Dalam aktiviti berforum, penggunaan bahasa yang bertatasusila sangat diutamakan, terutama ketika memulakan sesi forum, seperti ucapan salam, serta kata sapaan mengikut gelaran dan jawatan. Penggunaan laras bahasa juga perlu disesuaikan dengan tajuk atau bidang yang diperkatakan. Hal ini bererti, aktiviti berforum akan dapat membantu murid memperluas kosa kata dan menggunakan bahasa yang bermutu tinggi, serta membantu membina kematangan berfikir yang menjadi asas kepada pembentukan nilai-nilai kepemimpinan dalam kalangan pelajar".
Aktiviti berforum merupakan penggalak bagi pemupukan budaya membaca dalam kalangan murid kerana dalam proses penyediaan aktiviti berforum, murid perlu membuat rujukan yang mendalam tentang tajuk yang berkaitan. Hal ini bertujuan agar murid memperoleh fakta yang tepat. Melalui cara ini, guru dapat memupuk minat membaca dalam kalangan murid. Seterusnya, kegiatan ini akan dapat memperluas pengetahuan murid dalam pelbagai bidang disiplin ilmu yang selari dengan hala tuju kehidupan masa kini yang beraspirasikan modal insan yang berpengetahuan, lebih-lebih lagi trend kehidupan pasca abad ke-20 telah beralih arah kepada kegiatan ekonomi yang berasaskan kreativiti dan inovasi", ujarnya lagi.
Seterusnya, beliau juga menerangkan, "Nilai-nilai murni juga dapat disemai melalui aktiviti berforum kerana murid dikehendaki menggunakan bahasa bertatasusila ketika menjalankan aktiviti ini. Mereka juga dilatih untuk menajamkan keprihatinan mereka terhadap nilai-nilai masyarakat, dan situasi ini dengan sendirinya akan melatih mereka sentiasa peka terhadap persekitaran mereka. Tambahan pula pada masa kini nilai-nilai murni semakin terhakis daripada sanubari generasi remaja. Bertepatan sekali, aktiviti berforum dijadikan salah satu aktiviti wajib dalam kalendar koakademik PPD kita".
"Kemampuan menyampaikan maklumat dengan berkesan dan bermakna merupakan asas dalam pemupukan sifat-sifat kepimpinan seseorang. Aktiviti berforum mempunyai kapasiti untuk memantapkan keyakinan diri serta menonjolkan kemampuan seseorang untuk mempengaruhi orang lain. Seseorang yang berkebolehan dalam berforum akan memiliki keyakinan dan kemampuan menghadapi pelbagai masalah dan bersikap dinamik dalam menyelesaikan masalah yang mereka hadapi dengan pantas, atau lebih tepat lagi dapat menjana individu yang memiliki kepantasan berfikir. Aktiviti berforum melatih murid bercakap di hadapan khalayak dan secara tidak langsung dapat memupuk sifat berani tampil ke hadapan bagi menyelesaikan masalah dan bertanggungjawab terhadap diri sendiri dan juga kepada orang lain".
Pada akhir ucapan, beliau memberitahu, "Saya ingin berkongsi idea dengan para hadirin bahawa aktiviti lisan sangat penting dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa. Pendekatan ini perlu diketengahkan dengan tujuan supaya murid-murid dapat menguasai kemahiran mendengar dan bertutur pada peringkat rendah dan tinggi. Untuk membolehkan murid-murid menguasai kemahiran mendengar dan bertutur dengan lebih baik, para guru perlu merancang pelbagai aktiviti yang dapat melibatkan sepenuhnya kemahiran murid-murid".
Keputusan penuh pertandingan ini adalah seperti yang berikut:
KATEGORI PASUKAN
KEDUDUKAN | NAMA SEKOLAH |
JOHAN | SMK SERI JEMPOL |
NAIB JOHAN | SBPI JEMPOL |
TEMPAT KETIGA | SMK BANDAR BARU SERTING |
TEMPAT KEEMPAT | SMK PALONG DUA (F) |
KATEGORI INDIVIDU
KATEGORI | NAMA PEMENANG | NAMA SEKOLAH |
AHLI FORUM TERBAIK | NUR MASTURAH AFIFI BINTI ABDUL RASHID (Ahli Panel Ke-3) | SMK SERI JEMPOL |
PENGERUSI TERBAIK | IRWAN NORASYRAF BIN ZULKAFFLI | SMK SERI JEMPOL |
Hadiah-hadiah dan sijil-sijil telah disampaikan oleh Cik Hazlina binti Rani kepada para pemenang. Majlis berakhir pada pukul 3:35 petang.
SMK Seri jempol lagi... bosan!! haha, SMKBBS asyik dapat no dua, no tiga..
ReplyDeleteDijemput pasukan bahas sekolah Tuan/Puan untuk menyertai program Bengkel Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen 2013 pada hari Sabtu, 26 Januari 2013 bertempat di IPGKPI, Bangi, Selangor.
ReplyDeleteUntuk maklumat lanjut, bolehlah melayari http://belajardebat.blogspot.com
Terima kasih.