Jujur dan adil dalam mendapatkan, melapor, dan menginterpretasi,
Jangan sekali-kali menciplak,
Mengenal pasti dan membuat pautan pada sumber apabila sesuai dan boleh dilaksanakan,
Jangan sekali-kali menyiarkan maklumat yang diketahui tidak tepat dan jika menyiarkan maklumat yang boleh dipersoalkan, pastikan dijelaskan akan keraguan tentang maklumat tersebut,
Bezakan antara sokongan, komentar, dan maklumat berdasarkan fakta,
Mengakui akan kesilapan dan membetulkannya dengan segera,
Perlihatkan cita rasa yang baik. Elakkan daripada memenuhi kehendak rasa ingin tahu yang mengerikan atau sensasi,
Jelaskan setiap misi blog dan alu-alukan dialog dengan khalayak ramai tentang kandungan dan cara pengendaliannya oleh penulis blog,
Mendedahkan pertentangan kepentingan, penggabungan, aktiviti, dan agenda peribadi,
Mematuhi piawaian yang tinggi yang sama seperti mana yang mereka harapkan daripada pihak lain.
SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN PALONG DUA (FELDA)
VISI
"PENDDIDIKAN BERKUALITI INSAN TERDIDIK NEGARA SEJAHTERA''
MISI
"MELESTARIKAN SISTEM PENDIDIKAN YANG BERKUALITI UNUTK MEMBANGUNKAN POTENSI INDUVIDU BAGI MEMENUHI ASPIRASI NEGARA".
Kelab Komputer sekolah ini telah menganjurkan bengkel movie maker dan pembinaan blog khusus untuk para guru dengan harapan dapat memberi pendedahan kepada mereka tentang kemahiran penggunaan movie maker dan pembinaan blog bagi tujuan proses pengajaran dan pembelajaran. Pada masa kini, penggunaan ICT begitu meluas dalam pelbagai bidang pekerjaan dan aktiviti seharian manusia. Justeru, bagi memastikan para guru menjadi pemain yang berkesan dalam era ICT ini, maka pihak Kelab Komputer SMK Palong Dua (F) telah mengorak langkah awal bagi melonjakkan kemahiran para guru sekolah ini untuk bersama-sama menyahut saranan kerajaan untuk melihat lahirnya warga penjawat awam yang berkemahiran tinggi dalam bidang ICT. Dua orang fasilitator telah dipertanggungjawab bagi mengendalikan program ini, iaitu Ustaz Fazeerul Akmar bin Ahmad, guru sekolah ini, bertanggungjawab dalam pengendalian bengkel movie maker, manakala Encik Rahimi bin Rahim, Juruteknik Komputer PKG Rompin, berperanan sebagai fasilitator untuk bengkel pembinaan blog. Rata-rata guru yang mengikuti program ini menyatakan rasa puas hati dengan kemahiran yang diperoleh daripada bengkel yang dianjurkan oleh kelab komputer sekolah ini. Mereka berharap program seumpama ini akan ada kesinambungannya demi memantapkan kemahiran mereka.
Minggu Sains dan Matematik SMK Palong Dua (F), Gemas 2010
Pada 10 Mei 2010, Puan Saadiah binti Saad, Pengetua sekolah ini telah menyempurnakan pelancaran Minggu Sains dan Matematik 2010 di Dataran Ilmu. Program ini merupakan anjuran bersama-sama Panitia Sains dan Panitia Matematik dan dijalankan selama seminggu mulai 10 Mei hingga 14 Mei 2010, bermula jam 8.00 pagi hingga jam 5.00 petang. Majlis perlancaran yang diadakan berjaya menarik minat para pelajar kerana dijalankan secara pendekatan pengaplikasian pengetahuan dalam sains dan matematik, dan tidak berbentuk klise sebagaimana yang diperlihat dan terbayang dalam minda audien selama ini. Hal ini selaras dengan aspirasi kepemimpinan negara yang menggalakkan budaya inovasi dalam kalangan rakyat di negara ini.
Matlamat program ini adalah untuk membentuk modal insan yang berteraskan sains dan matematik. Lima objektif digarisi bagi mencapai hasrat program ini, iaitu:
Menanam minat para pelajar terhadap subjek Sains dan Matematik
Memupuk kesedaran tentang kepentingan disiplin Sains dan Matematik dalam kehidupan seharian.
Melahirkan pelajar yang berfikiran kreatif dalam disiplin Sains dan Matematik.
Mendedahkan pelajar kepada pembelajaran Sains dan Matematik secara penemuan dan eksperimen.
Minggu Sains dan Matematik juga memberi peluang kepada para pelajar mempelajari Sains dan Matematik secara kontekstual, di samping menjalani aktiviti Minggu Sains dan Matematik yang bersifat santai dan menyeronokkan. Antara aktiviti yang dijalankan adalah seperti yang berikut:
Pertandingan Sudoku
Pertandingan Susun Nombor Kategori Menengah Atas
Pertandingan Susun Nombor Menengah Rendah
Pertandingan Lidi Beracun Kategori Menengah Atas
Pertandingan Lidi Beracun Kategori Menengah Rendah
Pertandingan Rubik Cube
Pertandingan Parachute
Pertandingan Roket Kategori Menengah Atas
Pertandingan Roket Kategori Menengah Rendah
Kuiz Info Sains dan Matematik
Pameran Sains dan Matematik
Lokasi bagi perjalanan aktiviti-aktiviti yang dirangka dalam program ini dijalankan di padang sekolah, Makmal Sains PMR, dan Makmal Biologi.
Bagi memastikan penyertaan secara menyeluruh, slot ”Magic of Science” (eksperimen mudah) juga diadakan bagi memberi peluang kepada para pelajar melakukan eksperimen yang mudah bagi menimbulkan minat dan kesedaran dalam kalangan pelajar tentang kepentingan subjek Sains dalam kehidupan. Melalui slot ini, para pelajar berpeluang menonjolkan bakat dan kreativiti mereka dalam pertandingan roket dan parachute. Pihak sekolah ini juga membuka pameran yang diadakan kepada murid-murid SK Palong Dua (F). Pameran yang diadakan mendapat sambutan yang amat menggalakkan.
Beberapa kelemahan telah dikenal pasti semasa program ini dijalankan, yakni terdapat sebilangan kecil pelajar tidak melibatkan diri dalam aktiviti Minggu Sains dan Matematik. Kekurangan juga dapat dikesan dari segi bahan pameran dan kekangan tenaga kerja sehingga menyebabkan pameran hanya dapat dibuka pada hari Selasa dan Khamis sahaja. Selain itu, penyertaan para pelajar dalam Kuiz Info Sains dan Matematik tidak menggalakkan kerana hanya mendapat tiga penyertaan sahaja. Namun, segala kelemahan dan kekurangan tidak sesekali melemahkan moral dan minda guru-guru Sains dan Matematik sekolah ini, malah mereka berjanji akan melakukan penambahbaikan pada sesi yang akan datang dengan melakukan perancangan yang lebih teliti dan terperinci, serta memperbanyak aktiviti yang lebih menarik dan bercorak inovasi.
Tuntasnya, secara keseluruhan bahawa Program Minggu Sains dan Matematik yang telah diadakan berjalan dengan lancar dan memberangsangkan. Hampir semua pelajar sekolah ini mengambil bahagian dalam pertandingan yang dianjurkan. Para pelajar sentiasa memberikan kerjasama semasa melawat ke Pameran Sains dan Matematik serta mengambil bahagian secara aktif dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan semasa pameran. Harapan pihak Panitia Sains dan Panitia Matematik, program seumpama ini akan berkesinambungan secara konsisten dan diperkasa dari semasa ke semasa.
TENAGA PELAKSANA
TAHNIAH BUAT CIKGU AMENUDIN, CIKGU ROHANA, CIKGU ATIKAH, CIKGU ARIFAH, CIKGU NUR SHALENA, CIKGU FARRAH DIBBA, CIKGU MASITAH, CIKGU NURUL SHAHIDA, DAN TIDAK LUPA JUGA CIKGU AIMI SARAH (sehingga 31 Mei 2010) KERANA BERJAYA MEMULAKAN SESUATU YANG DIANGGAP DI LUAR KEMAMPUAN SELAMA INI.
Gambar-gambar Sepanjang Aktiviti Minggu Sains dan Matematik 2010
Pada 21 Mei 2010, sekolah ini sekali lagi berjaya mengadakan sambutan Hari Guru dan Hari Pekerja buat tahun yang ketiga. Majlis ini disambut secara bersama-sama sebagai menghargai jasa dan pengorbanan para guru, staf sokongan, dan pekerja swasta SMK Palong Dua (F), Gemas. Selain itu, matlamat majlis ini juga adalah untuk mewujudkan permuafakatan antara pelajar, guru, staf sokongan, dan pekerja swasta. Manakala objektifnya pula, sebagai meraikan Hari Guru dan Hari Pekerja demi mempererat hubungan silaturrahim dalam kalangan pelajar, guru, staf sokongan, dan pekerja swasta di sekolah ini.
Hari Guru dan Hari Pekerja sebenarnya mengingatkan kita betapa besarnya sumbangan para guru dan pekerja terhadap pembangunan negara. Guru dan pekerja adalah tonggak kemajuan, kemakmuran, dan keharmonian sesebuah negara. Tanpa guru dan pekerja, terutamanya mereka yang dedikasi dan produktif, tidak mungkin kita akan mencapai kemajuan dan kemakmuran seperti yang dinikmati sekarang ini. Justeru, kita harus melihat sambutan Hari Guru dan Hari Pekerja ini sebagai wadah bagi menghargai sumbangan seluruh warga guru dan pekerja dalam memacu pembangunan negara ke arah kemajuan dan kemakmuran.
Dengan bertemakan sambutan pada tahun ini, iaitu “Guru Pembina Negara Bangsa” dan “Pekerja Berinovasi Pemacu Transformasi”, kita seharusnya menyedari akan pentingnya peranan para guru dan para pekerja dalam menjayakan sesuatu dasar pembangunan kerajaan. Apatah lagi ketika ini kerajaan sedang dalam rangka kerja pelaksanaan Model Ekonomi Baru (MEB) yang menekankan aspek-aspek inovasi dan kreativiti untuk menjana transformasi ke arah mencapai taraf ekonomi berpendapatan tinggi.
Aspirasi ini hanya boleh dicapai menerusi peningkatan produktiviti dalam kalangan guru dan pekerja yang sekali gus akan menjana modal insan yang berkualiti dan pertumbuhan ekonomi yang lebih mapan. Oleh sebab inilah, YAB Perdana Menteri kita benar-benar ingin melihat para guru dan para pekerja di negara ini melakukan lebih banyak usaha inovasi dalam pelbagai bidang supaya dapat melahirkan generasi yang berketerampilan dalam pelbagai aspek dan para pekerja yang mampu menggerakkan ekonomi negara secara lebih produktif.
MAKLUMAT SAMBUTAN
JAWATANKUASA INDUK
PENASIHAT
Puan Saadiah binti Saad
Pengetua
PENGERUSI
Cik Hazlina binti Rani
Guru Penolong Kanan
NAIB PENGERUSI I
Puan Latipah binti Mansor
Guru Penolong Kanan HEM
NAIB PENGERUSI II
YM Tengku Riduan bin Raja Yunus
Guru Penolong Kanan Kokurikulum
PENYELARAS
Encik Junaidi bin Yahya
Pengerusi Kelab Guru dan Staf
SETIAUSAHA
Cik Suhailiza binti Sulaiman
BENDAHARI
Cik Aimi Sarah binti Che Azmi
AHLI-AHLI JAWATANKUASA
Semua AJK Kelab Guru dan Staf, serta semua Ahli Jawatankuasa Badan Ketua Pelajar Sekolah
ATUR CARA MAJLIS SAMBUTAN HARI GURU DAN PEKERJA
MASA
ATUR CARA
7:25 pagi
Perarakan guru dan pekerja
7:30 pagi
Bacaan Surah Yasin
8:10 pagi
Bacaan Doa
8:20 pagi
*Ucapan Wakil Pelajar, Staf Sokongan, dan Guru
*Ucapan Pengetua
*Bacaan Perutusan
*Ikrar Guru dan Nyanyian Lagu Guru Malaysia dan Lagu Guru Pembina Negara Bangsa
*Penyampaian Hadiah
*Pemotongan Pulut Kuning
*Sesi Fotografi
9:15 pagi
Aktiviti Sukaneka
10:35 pagi
Rehat
10:45 pagi
*Persembahan Pelajar, Cabutan Bertuah
*Persembahan Guru
*Penyampaian Hadiah dan Anugerah Guru
*Nyanyian Lagu Sekolah
12:00 tengah hari
*Jamuan
Gambar-gambar sekitar sambutan Hari Guru dan Pekerja
Pada 14 Mei 2010, jam 8.45 pagi, Encik Mohd Kassim bin Maarof, Pegawai Penerangan dari Pejabat Penerangan Daerah Jempol telah menyampaikan ceramah " 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" bertempat di Dataran Ilmu, SMK Palong Dua (F). Antara inti sari ceramah beliau adalah seperti yang berikut:
Gagasan ini diperkenalkan oleh YAB Dato' Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak sebaik sahaja dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-6.
Gagasan ini selari dengan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara.
Gagasan ini bertujuan memperkukuh perpaduan kaum dan membudayakan sikap saling menghormati antara pelbagai kaum.
Gagasan ini bermatlamat membina negara yang kuat dan rakyat yang bersatu padu.
Gagasan ini bermaksud " Kita berdiri, kita berfikir sebagai bangsa Malaysia yang melepasi tembok etnik".
Gagasan ini tidak sesekali mengetepikan dasar afirmatif, iaitu dasar untuk menolong kaum Bumiputera.
Gagasan ini tidak sama dengan konsep 1 Israel.
Gagasan ini hasil cetusan idea YAB Dato' Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak dan kumpulan pemikirnya.
Gagasan ini tidak sama dengan konsep Malaysian Malaysia.
8 nilai murni yang hendak diterapkan melaluigagasan ini, iaitu Budaya Kecemerlangan, Ketabahan, Rendah Hati, Penerimaan, Kesetiaan, Meritokrasi, Pendidikan, dan Integriti.
Hidup tanpa matlamat persis kapal yang belayar tanpa haluan. Secara analoginya, begitulah perihal keadaan murid yang hadir ke sekolah tanpa sebarang matlamat yang jelas, yang akhirnya menjerumuskan diri mereka dalam situasi di awang-awangan sehingga menyebabkan diri mereka gagal memikul tanggungjawab sebagai murid yang berkewajipan mencipta kecemerlangan akademik dan membina sahsiah mulia demi memenuhi hasrat institusi pendidikan yang dijunjung dan yang lebih penting memenuhi impian ibu dan ayah. Bagi menghindari sindrom "hadir ke sekolah tanpa matlamat", maka pada 24 April 2010 baru-baru ini, Unit Bimbingan dan Kaunseling sekolah telah mengambil inisiatif menganjurkan Bengkel Jati Diri bagi membuka minda para pelajar tentang peri pentingnya penentuan matlamat diri dalam usaha membina kejayaan dalam kehidupan. Sasaran bengkel ini ialah semua pelajar tingkatan empat. Bengkel ini dikendalikan oleh Puan Nik Nuraini binti Husain, Kaunselor SMK Palong Dua (F).
Puan Nik Nuraini bt. Husain
Antara topik yang dibincangkan dalam bengkel ini ialah,
1.
Memberi kefahaman kepada pelajar tentang bagaimana menetapkan matlamat diri dan tanggungjawab sebagai pelajar.
2.
Memupuk sikap positif dalam kalangan pelajar.
3.
Pendedahan tentang cara-cara membina keyakinan diri.
Pada 19 April 2010 yang lalu, warga kerja sekolah ini yang meliputi staf akademik, staf sokongan, dan pekerja swasta telah mengikuti lawatan penandaarasan ke SMK Perimbun, Cheras, Selangor Darul Ehsan. Pemilihan sekolah ini dalam kalendar perancangan perkembangan staf dalam sesi 2010 berdasarkan pencapaian cemerlang SMK Perimbun dalam aspek pengurusan kurikulum dan kokurikulum sejak tiga tahun belakangan ini. Pelbagai input yang kami peroleh semasa mengikuti lawatan ke sekolah tersebut. Idea-idea yang kami peroleh akan diguna pakai dengan sedikit penyesuaian berasaskan lokasi dan sosio-budaya setempat. Sepanjang lawatan kami di sekolah ini, kami diberi layanan istimewa sehingga tidak wujud dalam sanubari kami rasa ketidakselesaan atau menimbulkan sedikit perasaan gangguan terhadap warga sekolah berkenaan. Suasana percambahan idea sering berlaku antara warga SMKPD dengan warga SMK Perimbun. SMK Perimbun merupakan sekolah yang ke-4 yang telah dilawati oleh warga kerja SMK Palong Dua (F) sejak program lawatan penandaarasan mula diperkenalkan pada tahun 2007 oleh Mantan Pengetua SMKPD, Encik Awalludin bin Mat Din. Mudah-mudahan gabungan idea daripada pengalaman empat tahun warga kerja sekolah ini terlibat dalam lawatan penandaarasan ke sekolah-sekolah yang berlatarbelakangkan etos yang tertentu dan memiliki kekuatan yang tersendiri, insya-Allah, sekolah ini akan dapat melonjakkan prestasinya pada tahap SEKOLAH BERPRESTASI TINGGI. Yang bulat tidak akan datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang.
Gambar-gambar sepanjang lawatan kami ke SMK Perimbun.